Thursday 22 September 2011

JPJ lelong 25 kenderaan

KOTA BHARU: Sebanyak 25 kenderaan pelbagai jenis yang tidak dituntut pemiliknya sejak 1999, dilelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada orang awam dan memperoleh hasil lelongan berjumlah RM32,900.

Pengarah JPJ negeri, Abd Ghani Che Kassim, berkata dalam lelongan kali kedua bagi tahun ini, 54 pembida kalangan pelesen barangan lusuh dan orang awam mendaftar untuk membida pelbagai kenderaan termasuk sebuah pikup hilux yang mendapat harga bidaan tertinggi RM15,000, manakala nilai terendah RM50 bagi sebuah motosikal.

Katanya, daripada keseluruhan kenderaan dilelong itu, 12 kenderaan boleh didaftarkan semula, manakala 13 lagi akan dilupuskan dan tidak boleh didaftarkan dengan JPJ.
"Pada lelongan awam itu, JPJ melelong 10 motosikal, tujuh kereta, dua lori dan masing-masing satu pikup serta satu kenderaan pacuan empat roda, selain empat motosikal bernombor pendaftaran Thailand.

"JPJ turut memperoleh hasil jualan dokumen tender berjumlah RM2,700 dengan setiap satu naskhah dijual RM50 kepada orang awam untuk diisi pembida sebelum dikembalikan kepada jawatankuasa lelongan awam kenderaan disita JPJ sepanjang tahun ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abd Ghani berkata, antara kesalahan dikesan JPJ daripada 25 kenderaan yang disita itu ialah pemiliknya cuba mengganggu nombor casis, tamat tempoh cukai jalan, menggunakan cukai jalan palsu, kenderaan dipotong dan sambung serta kenderaan tiada lesen.

"Kita menghadapi masalah tempat menyimpan kenderaan yang tidak dituntut pemiliknya sejak 1999 hingga tahun ini. Kawasan pekarangan JPJ termasuk di enam stesen penguat kuasa JPJ di seluruh negeri kini dipenuhi 351 pelbagai kenderaan yang sedang menunggu untuk proses lelongan awam," katanya.

Pelacur khayal seks lintang-pukang tertinggal pakaian apabila diserbu

KUALA LUMPUR: Lima pelacur warga China bersama pasangan mereka rakyat tempatan lari lintang pukang dalam keadaan bogel apabila polis menyerbu sebuah pusat kesihatan haram di Bandar Puteri Puchong dekat sini, malam kelmarin.
Semua pelacur dan pelanggan mereka dikatakan khayal dalam seks dan tidak sedar serbuan dilakukan sehingga tertinggal pakaian masing-masing di bilik ketika operasi jam 10 malam.
Namun, semua mereka dapat ditahan selepas polis mengepung laluan keluar premis rumah kedai dua tingkat itu yang didapati menjalankan operasi haram berkenaan sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Dalam serbuan bahagian risikan dan operasi Urusetia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diketuai Asisten Komisioner Aimmi Shah Fadhil, polis turut menahan lima lagi wanita China yang sedang memperagakan diri dalam keadaan separuh bogel sebelum dipilih pelanggan mereka.

Siasatan polis mendapati semua 10 wanita terbabit berulang-kali memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM180.

Dalam operasi berasingan di sebuah pusat kecantikan di Pandan Indah, Ampang, setengah jam kemudian polis menahan 13 wanita warga negara Vietnam dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).
Mereka ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman kerana disyaki menawarkan khidmat seks di premis dua tingkat berkenaan.

Hasil pemeriksaan polis mendapati premis yang berselindung di sebalik lesen pusat kecantikan itu dipercayai bergiat aktif menjalankan aktiviti maksiat dan pelacuran sejak dua tahun lalu.

Ketua Operasi, Cif Inspektor Wiranti Abdul Wahid memberitahu modus operandi premis ini adalah meletakkan wanita warga Vietnam yang berpakaian separuh bogel di dalam bilik cermin kaca khas untuk dipilih pelanggan.

Siasatan polis juga mendapati kadar yang ditawarkan adalah antara RM160 hingga RM180 untuk pakej urutan batin dan khidmat seks.

Semua mereka yang ditahan dalam kedua-dua operasi itu turut disiasat mengikut Akta Imigresen atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial, manakala pelanggan mereka ditahan untuk proses dokumentasi.

DAP boleh keluar dari pakatan pembangkang

pix_gal0

PAS tetap laksana hukum hudud walaupun dapat tentangan Kit Siang, Karpal

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata beliau tidak kisah DAP keluar daripada pakatan pembangkang jika tidak setuju dengan pendiriannya mengenai pembentukan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, DAP pernah keluar daripada kerjasama pembangkang ketika dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) sebelum ini dan menyertai semula pakatan pembangkang selepas itu.
"Nak jumpa berapa kali jumpa dah... DAP dah keluar sekali dalam APU dulu. Tak apa saya kata... bye bye tak ada apa, sekarang ini dia masuk balik, jadi itu dia punya pasal.

"Kalau tak mahu buat negara Islam, kita buat bumi sendiri, jangan menumpang bumi Allah, buat udara sendiri, jangan menumpang udara Allah, buat matahari sendiri, jangan menumpang matahari Allah. Selagi kita menumpang di bumi Allah maka agama yang Allah rasmikan ialah Islam," katanya ketika ditemui selepas Himpunan Peserta Kursus Kenegaraan 2011, di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat PAS menubuhkan negara Islam meskipun mendapat tentangan, terutama daripada DAP.

Semalam, akhbar melaporkan Pengerusi DAP, Karpal Singh terkejut dan mempersoalkan hasrat Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan juga hudud kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, Tun Dr Mahathir dilaporkan membidas Nik Aziz kerana menganggap beliau penghalang utama pelaksanaan hukum itu ketika menjadi Perdana Menteri dan bukannya Karpal. Dr Mahathir juga mencabar Nik Aziz melaksanakannya kerana beliau kini bukan lagi Perdana Menteri dan tidak boleh menghalangnya berbuat demikian.

Mengulas hasrat pelaksanaan hudud di Kelantan yang mungkin menjejaskan hubungan PAS dengan rakan dalam pakatan pembangkang, Nik Aziz menegaskan beliau tetap dengan pendirian itu.
"Saya tetap dengan agama Islam dan itu adalah yang diperjuangkan waktu mula-mula PAS diwujudkan. Ia bukan benda baru lagi... (mengenai) dialog, berapa kali dialog dah kami lakukan, sudah 20 tahun," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Karpal berkata cadangan Nik Aziz mewujudkan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud sebagai membelakangi keputusan Muktamar Tahunan PAS ke-57, pada Jun lalu yang menukar dasar penubuhan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Ia bukan saja dilihat tidak pragmatik, malah tidak kena pada masanya selain bercanggah dengan dasar pakatan pembangkang dan boleh menimbulkan ketakutan masyarakat bukan Islam.

Beliau juga hairan dengan kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara peribadi menyokong hasrat Nik Aziz menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud.

“Pelaksanaan hukum hudud boleh mengundang kebimbangan masyarakat bukan Islam bahawa ada usaha untuk mewujudkan negara Islam seperti Arab Saudi dan Sudan yang melaksanakan hukum hudud sehingga wujud jurang antara masyarakat Islam dan bukan Islam,” katanya ketika dihubungi.

Karpal juga berkata, Kerajaan PAS Kelantan harus pragmatik dan menerima hakikat bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan apa juga undang-undang berhubung kesalahan jenayah adalah termasuk dalam bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pakatan pembangkang juga perlu menyatakan pendirian berhubung isu berkenaan bagi meredakan kebimbangan masyarakat bukan Islam, tetapi menyifatkan kenyataan Anwar sebagai pandangan peribadi dan tidak mewakili PKR.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dalam laman sosial Twitter, berkata DAP konsisten dengan pendirian menolak penubuhan negara Islam serta hukum hudud yang dicadangkan PAS dan menganggap ia tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

Lim berkata, hasrat PAS menubuhkan negara Islam dan hukum hudud bertentangan dengan dasar pakatan itu sebelum ini dan sebarang perubahan perlu diputuskan ketiga-tiga parti.

Sementara itu Anwar berkata, secara peribadi beliau menyokong usaha kerajaan PAS Kelantan melaksanakan hukum hudud kerana ia tidak melanggar hak orang bukan Islam dan pentadbiran adil adalah dijamin.

“Buat masa ini, secara umum pada dasarnya saya percaya ini boleh dilaksanakan. Dalam perkara tertentu, terdapat jaminan yang jelas mengenai pentadbiran yang adil. Ia tidak mencabuli hak orang bukan Islam dalam apa cara sekalipun," katanya.

Oleh Norliza Wasilan dan Haspaizi Mohd Zain

5 tentera sembelih enggang digantung tugas

SHAH ALAM: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengantung tugas lima anggotanya yang disyaki terbabit menyembelih seekor burung enggang di Hutan Royal Belum, baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka akan dihadapkan ke mahkamah mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar, sekali gus menunjukkan ATM tidak melindungi mana-mana anggotanya yang terbabit kegiatan yang menyalahi undang-undang.


“Siasatan mendapati, mereka menemui spesies burung yang hampir pupus itu dalam keadaan separuh mati dipercayai cedera selepas ditembak pemburu haram,” katanya pada majlis sambutan Hari Keluarga Kelab Rantau Bagan Datoh (Kerabad) di Wet World, di sini semalam. Majlis itu dihadiri lebih 2,000 masyarakat Bagan Datoh yang berada di perantauan.

Usah ragui doktor lelaki

MUTAKHIR ini mula kedengaran rungutan masyarakat kita yang tidak selesa dengan kehadiran doktor lelaki di wad bersalin.

Segelintir masyarakat kita mahukan doktor wanita menguruskan semua urusan kelahiran di wad berkenaan.

Walaupun tuntutan ini ada rasionalnya daripada pelbagai aspek terutama membabitkan soal maruah dan keaiban seorang wanita, kita wajar membicarakan isu ini dalam konteks lebih luas dan terbuka secara profesional.

Kita perlu buang pemikiran sempit dan kolot yang memungkinkan kita mempunyai tanggapan negatif terhadap doktor lelaki.


Penulis sangat setuju kehendak dan cadangan masyarakat yang mahukan doktor wanita di semua wad bersalin di seluruh negara, namun adakah ia praktikal dan realistik untuk dicapai?


Dalam kita memperhalusi cadangan dan kehendak itu, kita perlu merungkai isu ini daripada dua perspektif penting iaitu daripada segi etika kerja dan profesionalisme seorang doktor serta yang kedua ialah statistik bilangan doktor di Malaysia.

Justeru dalam soal ini, kita perlu memberi perhatian kepada kod etika dan profesionalisme doktor dalam menguruskan pesakit.

Misalnya, di Malaysia semua doktor yang berdaftar perlu mengikuti dan mematuhi kod etika perubatan yang ditetapkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Antara intipati kod etika dan garis panduan yang dikeluarkan MMC merangkumi kod kelakuan profesional (Code of Professional Conduct), tugas doktor (Duties of A Doctor) dan garis panduan etika (Ethical Guidelines).

Pengamal perubatan yang melanggar garis panduan dan etika ini boleh diambil tindakan undang-undang sehingga membatalkan pendaftaran mereka yang menyebabkan mereka tidak boleh menjalankan amalan perubatan.

Justeru dalam hal ini, kita yakin doktor lelaki boleh dipercayai dan tidak akan melanggar kod etika berkenaan kerana ia akan menjejaskan kedudukan dan reputasi serta masa depan mereka.

Malah, bilangan kes perlanggaran etika yang membabitkan doktor terutama doktor lelaki seperti kes mengambil kesempatan ke atas pesakit wanita masih terlalu kecil, terpencil dan terkawal.

Sebagai contoh, mengikut laporan tahunan MMC, hanya 87 kes membabitkan pelbagai salah laku doktor yang dilaporkan sepanjang tahun 2008 berbanding bilangan doktor yang berdaftar seramai 20,280.

Ini membuktikan tidak wajar dan tidak adil untuk kita meragui etika profesionalisme doktor kita terutama doktor lelaki.

Pada masa sama, kita perlu terima hakikat jumlah doktor di Malaysia masih berkurangan dan tidak mencukupi.

Maka, dalam keadaan seperti ini kita tidak mempunyai banyak pilihan misalnya hendak memohon mendapatkan perkhidmatan doktor wanita.

Justeru, masyarakat perlu mengubah perspektif dan persepsi terhadap doktor lelaki dan pada masa sama berharap bilangan doktor di Malaysia meningkat dan mencukupi.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Serdang, Selangor

Diselamat selepas sesat 20 jam dalam hutan Bukit Kutu

HULU SELANGOR: Empat sahabat termasuk seorang perempuan sesat selama kira-kira 20 jam akibat gagal mencari jalan keluar selepas masuk hutan di Bukit Kutu, dekat sini untuk berkhemah, tengah hari kelmarin.

Mereka yang berusia 20-an masuk ke kawasan hutan itu kira-kira jam 2 petang untuk berkhemah bersama empat rakan mereka yang masuk lebih awal.


Sumber polis berkata, bagaimanapun dua kumpulan terbabit terpisah ketika dalam perjalanan keluar dari hutan, menyebabkan empat rakan mereka daripada kumpulan yang berbeza menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan kecemasan.

“Operasi mencari dan menyelamat dimulakan kira-kira jam 6 petang (kelmarin) namun, sehingga jam 12 tengah malam, tiga lelaki dan seorang wanita itu masih gagal dikesan.


“Operasi disambung semula kira-kira jam 7 pagi tadi (semalam) dan keempat-empat mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 12 tengah hari dalam keadaan kepenatan sebelum diberi rawatan.


Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendy yang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu turut menasihati kumpulan yang mahu mengadakan aktiviti di dalam hutan supaya memaklumkannya terlebih dulu kepada polis sebagai langkah keselamatan.

Jalan raya di Equine Park tidak selamat dilalui

SERI KEMBANGAN: Keadaan jalan raya di kawasan Equine Park, di sini, yang tidak rata, beralun dan berlopak menyukarkan kenderaan yang lalu lalang di kawasan terbabit.

Penduduk Fahmi Azizan, 25, bekata, keadaan ini telah berlaku sejak beberapa tahun lalu dan masalah masih berterusan sehingga hari ini.


“Saya pun tak faham kenapa jalan di sini selalu berlubang sedangkan ia sudah beberapa kali diturap oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tayar kereta saya juga pernah pecah ketika melalui jalan ini dan ia jelas menunjukkan jalan ini memang tidak selamat untuk dilalui lebih-lebih lagi kepada kenderaan kecil,” katanya yang ditemui, semalam.


Pelajar, Zaihasrul Zahidi, 27, berkata kemalangan juga sering berlaku terutama di kalangan penunggang basikal selain mengalami kerosakan kenderaan disebabkan keadaan jalan yang teruk itu.


“Kami terpaksa menanggung risiko menggunakan jalan ini setiap hari kerana ia adalah jalan utama untuk kami keluar masuk dan satu-satunya jalan yang ada untuk penduduk ke tempat kerja,” katanya.

Menurutnya, pihak berkenaan sepatutnya mengkaji keadaan jalan ini dan menurapnya semula supaya tidak membahayakan keselamatan pengguna.


“Kami tidak tahu apa yang ada dalam lopak air itu. Kadang-kadang, ada paku, kaca dan benda tajam lain yang terkumpul dan perkara seperti ini yang boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya. Selain itu, beliau berkata, jika berlaku hujan lebat, permukaan jalan itu akan turut ditenggelami air dan menyukarkan pemandu.-metro