Thursday 22 September 2011

JPJ lelong 25 kenderaan

KOTA BHARU: Sebanyak 25 kenderaan pelbagai jenis yang tidak dituntut pemiliknya sejak 1999, dilelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada orang awam dan memperoleh hasil lelongan berjumlah RM32,900.

Pengarah JPJ negeri, Abd Ghani Che Kassim, berkata dalam lelongan kali kedua bagi tahun ini, 54 pembida kalangan pelesen barangan lusuh dan orang awam mendaftar untuk membida pelbagai kenderaan termasuk sebuah pikup hilux yang mendapat harga bidaan tertinggi RM15,000, manakala nilai terendah RM50 bagi sebuah motosikal.

Katanya, daripada keseluruhan kenderaan dilelong itu, 12 kenderaan boleh didaftarkan semula, manakala 13 lagi akan dilupuskan dan tidak boleh didaftarkan dengan JPJ.
"Pada lelongan awam itu, JPJ melelong 10 motosikal, tujuh kereta, dua lori dan masing-masing satu pikup serta satu kenderaan pacuan empat roda, selain empat motosikal bernombor pendaftaran Thailand.

"JPJ turut memperoleh hasil jualan dokumen tender berjumlah RM2,700 dengan setiap satu naskhah dijual RM50 kepada orang awam untuk diisi pembida sebelum dikembalikan kepada jawatankuasa lelongan awam kenderaan disita JPJ sepanjang tahun ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abd Ghani berkata, antara kesalahan dikesan JPJ daripada 25 kenderaan yang disita itu ialah pemiliknya cuba mengganggu nombor casis, tamat tempoh cukai jalan, menggunakan cukai jalan palsu, kenderaan dipotong dan sambung serta kenderaan tiada lesen.

"Kita menghadapi masalah tempat menyimpan kenderaan yang tidak dituntut pemiliknya sejak 1999 hingga tahun ini. Kawasan pekarangan JPJ termasuk di enam stesen penguat kuasa JPJ di seluruh negeri kini dipenuhi 351 pelbagai kenderaan yang sedang menunggu untuk proses lelongan awam," katanya.

Pelacur khayal seks lintang-pukang tertinggal pakaian apabila diserbu

KUALA LUMPUR: Lima pelacur warga China bersama pasangan mereka rakyat tempatan lari lintang pukang dalam keadaan bogel apabila polis menyerbu sebuah pusat kesihatan haram di Bandar Puteri Puchong dekat sini, malam kelmarin.
Semua pelacur dan pelanggan mereka dikatakan khayal dalam seks dan tidak sedar serbuan dilakukan sehingga tertinggal pakaian masing-masing di bilik ketika operasi jam 10 malam.
Namun, semua mereka dapat ditahan selepas polis mengepung laluan keluar premis rumah kedai dua tingkat itu yang didapati menjalankan operasi haram berkenaan sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Dalam serbuan bahagian risikan dan operasi Urusetia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diketuai Asisten Komisioner Aimmi Shah Fadhil, polis turut menahan lima lagi wanita China yang sedang memperagakan diri dalam keadaan separuh bogel sebelum dipilih pelanggan mereka.

Siasatan polis mendapati semua 10 wanita terbabit berulang-kali memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM180.

Dalam operasi berasingan di sebuah pusat kecantikan di Pandan Indah, Ampang, setengah jam kemudian polis menahan 13 wanita warga negara Vietnam dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).
Mereka ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman kerana disyaki menawarkan khidmat seks di premis dua tingkat berkenaan.

Hasil pemeriksaan polis mendapati premis yang berselindung di sebalik lesen pusat kecantikan itu dipercayai bergiat aktif menjalankan aktiviti maksiat dan pelacuran sejak dua tahun lalu.

Ketua Operasi, Cif Inspektor Wiranti Abdul Wahid memberitahu modus operandi premis ini adalah meletakkan wanita warga Vietnam yang berpakaian separuh bogel di dalam bilik cermin kaca khas untuk dipilih pelanggan.

Siasatan polis juga mendapati kadar yang ditawarkan adalah antara RM160 hingga RM180 untuk pakej urutan batin dan khidmat seks.

Semua mereka yang ditahan dalam kedua-dua operasi itu turut disiasat mengikut Akta Imigresen atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial, manakala pelanggan mereka ditahan untuk proses dokumentasi.

DAP boleh keluar dari pakatan pembangkang

pix_gal0

PAS tetap laksana hukum hudud walaupun dapat tentangan Kit Siang, Karpal

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata beliau tidak kisah DAP keluar daripada pakatan pembangkang jika tidak setuju dengan pendiriannya mengenai pembentukan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, DAP pernah keluar daripada kerjasama pembangkang ketika dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) sebelum ini dan menyertai semula pakatan pembangkang selepas itu.
"Nak jumpa berapa kali jumpa dah... DAP dah keluar sekali dalam APU dulu. Tak apa saya kata... bye bye tak ada apa, sekarang ini dia masuk balik, jadi itu dia punya pasal.

"Kalau tak mahu buat negara Islam, kita buat bumi sendiri, jangan menumpang bumi Allah, buat udara sendiri, jangan menumpang udara Allah, buat matahari sendiri, jangan menumpang matahari Allah. Selagi kita menumpang di bumi Allah maka agama yang Allah rasmikan ialah Islam," katanya ketika ditemui selepas Himpunan Peserta Kursus Kenegaraan 2011, di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat PAS menubuhkan negara Islam meskipun mendapat tentangan, terutama daripada DAP.

Semalam, akhbar melaporkan Pengerusi DAP, Karpal Singh terkejut dan mempersoalkan hasrat Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan juga hudud kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, Tun Dr Mahathir dilaporkan membidas Nik Aziz kerana menganggap beliau penghalang utama pelaksanaan hukum itu ketika menjadi Perdana Menteri dan bukannya Karpal. Dr Mahathir juga mencabar Nik Aziz melaksanakannya kerana beliau kini bukan lagi Perdana Menteri dan tidak boleh menghalangnya berbuat demikian.

Mengulas hasrat pelaksanaan hudud di Kelantan yang mungkin menjejaskan hubungan PAS dengan rakan dalam pakatan pembangkang, Nik Aziz menegaskan beliau tetap dengan pendirian itu.
"Saya tetap dengan agama Islam dan itu adalah yang diperjuangkan waktu mula-mula PAS diwujudkan. Ia bukan benda baru lagi... (mengenai) dialog, berapa kali dialog dah kami lakukan, sudah 20 tahun," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Karpal berkata cadangan Nik Aziz mewujudkan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud sebagai membelakangi keputusan Muktamar Tahunan PAS ke-57, pada Jun lalu yang menukar dasar penubuhan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Ia bukan saja dilihat tidak pragmatik, malah tidak kena pada masanya selain bercanggah dengan dasar pakatan pembangkang dan boleh menimbulkan ketakutan masyarakat bukan Islam.

Beliau juga hairan dengan kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara peribadi menyokong hasrat Nik Aziz menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud.

“Pelaksanaan hukum hudud boleh mengundang kebimbangan masyarakat bukan Islam bahawa ada usaha untuk mewujudkan negara Islam seperti Arab Saudi dan Sudan yang melaksanakan hukum hudud sehingga wujud jurang antara masyarakat Islam dan bukan Islam,” katanya ketika dihubungi.

Karpal juga berkata, Kerajaan PAS Kelantan harus pragmatik dan menerima hakikat bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan apa juga undang-undang berhubung kesalahan jenayah adalah termasuk dalam bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pakatan pembangkang juga perlu menyatakan pendirian berhubung isu berkenaan bagi meredakan kebimbangan masyarakat bukan Islam, tetapi menyifatkan kenyataan Anwar sebagai pandangan peribadi dan tidak mewakili PKR.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dalam laman sosial Twitter, berkata DAP konsisten dengan pendirian menolak penubuhan negara Islam serta hukum hudud yang dicadangkan PAS dan menganggap ia tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

Lim berkata, hasrat PAS menubuhkan negara Islam dan hukum hudud bertentangan dengan dasar pakatan itu sebelum ini dan sebarang perubahan perlu diputuskan ketiga-tiga parti.

Sementara itu Anwar berkata, secara peribadi beliau menyokong usaha kerajaan PAS Kelantan melaksanakan hukum hudud kerana ia tidak melanggar hak orang bukan Islam dan pentadbiran adil adalah dijamin.

“Buat masa ini, secara umum pada dasarnya saya percaya ini boleh dilaksanakan. Dalam perkara tertentu, terdapat jaminan yang jelas mengenai pentadbiran yang adil. Ia tidak mencabuli hak orang bukan Islam dalam apa cara sekalipun," katanya.

Oleh Norliza Wasilan dan Haspaizi Mohd Zain

5 tentera sembelih enggang digantung tugas

SHAH ALAM: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengantung tugas lima anggotanya yang disyaki terbabit menyembelih seekor burung enggang di Hutan Royal Belum, baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka akan dihadapkan ke mahkamah mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar, sekali gus menunjukkan ATM tidak melindungi mana-mana anggotanya yang terbabit kegiatan yang menyalahi undang-undang.


“Siasatan mendapati, mereka menemui spesies burung yang hampir pupus itu dalam keadaan separuh mati dipercayai cedera selepas ditembak pemburu haram,” katanya pada majlis sambutan Hari Keluarga Kelab Rantau Bagan Datoh (Kerabad) di Wet World, di sini semalam. Majlis itu dihadiri lebih 2,000 masyarakat Bagan Datoh yang berada di perantauan.

Usah ragui doktor lelaki

MUTAKHIR ini mula kedengaran rungutan masyarakat kita yang tidak selesa dengan kehadiran doktor lelaki di wad bersalin.

Segelintir masyarakat kita mahukan doktor wanita menguruskan semua urusan kelahiran di wad berkenaan.

Walaupun tuntutan ini ada rasionalnya daripada pelbagai aspek terutama membabitkan soal maruah dan keaiban seorang wanita, kita wajar membicarakan isu ini dalam konteks lebih luas dan terbuka secara profesional.

Kita perlu buang pemikiran sempit dan kolot yang memungkinkan kita mempunyai tanggapan negatif terhadap doktor lelaki.


Penulis sangat setuju kehendak dan cadangan masyarakat yang mahukan doktor wanita di semua wad bersalin di seluruh negara, namun adakah ia praktikal dan realistik untuk dicapai?


Dalam kita memperhalusi cadangan dan kehendak itu, kita perlu merungkai isu ini daripada dua perspektif penting iaitu daripada segi etika kerja dan profesionalisme seorang doktor serta yang kedua ialah statistik bilangan doktor di Malaysia.

Justeru dalam soal ini, kita perlu memberi perhatian kepada kod etika dan profesionalisme doktor dalam menguruskan pesakit.

Misalnya, di Malaysia semua doktor yang berdaftar perlu mengikuti dan mematuhi kod etika perubatan yang ditetapkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Antara intipati kod etika dan garis panduan yang dikeluarkan MMC merangkumi kod kelakuan profesional (Code of Professional Conduct), tugas doktor (Duties of A Doctor) dan garis panduan etika (Ethical Guidelines).

Pengamal perubatan yang melanggar garis panduan dan etika ini boleh diambil tindakan undang-undang sehingga membatalkan pendaftaran mereka yang menyebabkan mereka tidak boleh menjalankan amalan perubatan.

Justeru dalam hal ini, kita yakin doktor lelaki boleh dipercayai dan tidak akan melanggar kod etika berkenaan kerana ia akan menjejaskan kedudukan dan reputasi serta masa depan mereka.

Malah, bilangan kes perlanggaran etika yang membabitkan doktor terutama doktor lelaki seperti kes mengambil kesempatan ke atas pesakit wanita masih terlalu kecil, terpencil dan terkawal.

Sebagai contoh, mengikut laporan tahunan MMC, hanya 87 kes membabitkan pelbagai salah laku doktor yang dilaporkan sepanjang tahun 2008 berbanding bilangan doktor yang berdaftar seramai 20,280.

Ini membuktikan tidak wajar dan tidak adil untuk kita meragui etika profesionalisme doktor kita terutama doktor lelaki.

Pada masa sama, kita perlu terima hakikat jumlah doktor di Malaysia masih berkurangan dan tidak mencukupi.

Maka, dalam keadaan seperti ini kita tidak mempunyai banyak pilihan misalnya hendak memohon mendapatkan perkhidmatan doktor wanita.

Justeru, masyarakat perlu mengubah perspektif dan persepsi terhadap doktor lelaki dan pada masa sama berharap bilangan doktor di Malaysia meningkat dan mencukupi.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Serdang, Selangor

Diselamat selepas sesat 20 jam dalam hutan Bukit Kutu

HULU SELANGOR: Empat sahabat termasuk seorang perempuan sesat selama kira-kira 20 jam akibat gagal mencari jalan keluar selepas masuk hutan di Bukit Kutu, dekat sini untuk berkhemah, tengah hari kelmarin.

Mereka yang berusia 20-an masuk ke kawasan hutan itu kira-kira jam 2 petang untuk berkhemah bersama empat rakan mereka yang masuk lebih awal.


Sumber polis berkata, bagaimanapun dua kumpulan terbabit terpisah ketika dalam perjalanan keluar dari hutan, menyebabkan empat rakan mereka daripada kumpulan yang berbeza menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan kecemasan.

“Operasi mencari dan menyelamat dimulakan kira-kira jam 6 petang (kelmarin) namun, sehingga jam 12 tengah malam, tiga lelaki dan seorang wanita itu masih gagal dikesan.


“Operasi disambung semula kira-kira jam 7 pagi tadi (semalam) dan keempat-empat mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 12 tengah hari dalam keadaan kepenatan sebelum diberi rawatan.


Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendy yang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu turut menasihati kumpulan yang mahu mengadakan aktiviti di dalam hutan supaya memaklumkannya terlebih dulu kepada polis sebagai langkah keselamatan.

Jalan raya di Equine Park tidak selamat dilalui

SERI KEMBANGAN: Keadaan jalan raya di kawasan Equine Park, di sini, yang tidak rata, beralun dan berlopak menyukarkan kenderaan yang lalu lalang di kawasan terbabit.

Penduduk Fahmi Azizan, 25, bekata, keadaan ini telah berlaku sejak beberapa tahun lalu dan masalah masih berterusan sehingga hari ini.


“Saya pun tak faham kenapa jalan di sini selalu berlubang sedangkan ia sudah beberapa kali diturap oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tayar kereta saya juga pernah pecah ketika melalui jalan ini dan ia jelas menunjukkan jalan ini memang tidak selamat untuk dilalui lebih-lebih lagi kepada kenderaan kecil,” katanya yang ditemui, semalam.


Pelajar, Zaihasrul Zahidi, 27, berkata kemalangan juga sering berlaku terutama di kalangan penunggang basikal selain mengalami kerosakan kenderaan disebabkan keadaan jalan yang teruk itu.


“Kami terpaksa menanggung risiko menggunakan jalan ini setiap hari kerana ia adalah jalan utama untuk kami keluar masuk dan satu-satunya jalan yang ada untuk penduduk ke tempat kerja,” katanya.

Menurutnya, pihak berkenaan sepatutnya mengkaji keadaan jalan ini dan menurapnya semula supaya tidak membahayakan keselamatan pengguna.


“Kami tidak tahu apa yang ada dalam lopak air itu. Kadang-kadang, ada paku, kaca dan benda tajam lain yang terkumpul dan perkara seperti ini yang boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya. Selain itu, beliau berkata, jika berlaku hujan lebat, permukaan jalan itu akan turut ditenggelami air dan menyukarkan pemandu.-metro

Campak tuala wanita dari flat

SHAH ALAM: Keadaan kebersihan yang kian merudum di pangsapuri Ilham, TTDI Jaya sejak lima bulan lalu mula mendatangkan ketidakselesaan kepada penghuninya.

Menurut pengadu yang mahu dikenali sebagai Azlin, 34, dia amat tidak berpuas hati dengan keadaan kebersihan yang kebelakangan ini semakin teruk.


“Setiap hari saya akan melihat ada sampah yang dibuang di dalam dan di luar lif. Sampah domestik yang dibuang turut diletakkan di hadapan bilik kecemasan berhadapan dengan pintu lif di setiap tingkat.

“Saya geli kerana hampir setiap hari saya akan melihat najis manusia, kahak, muntah dan air liur di dalam lif ketika hendak pergi kerja. Baunya yang menusuk hidung membuat saya kurang selesa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Kakitangan awam itu turut memberitahu penghuni juga seperti bebas membuang hampir apa saja menerusi tingkap rumah masing-masing termasuk tilam, lampin pakai buang, tuala wanita, kayu dan objek- objek keras yang lain.


“Setiap kali saya melalui lorong bawah pangsapuri, saya bimbang ada objek keras yang dibuang dari atas. Ada juga yang mencurahkan air dari tingkap. Pernah berlaku penghuni membuang tilam dari tingkap hingga menyebabkan lampu jalan di bawah lorong rumah saya pecah,” tambahnya lagi.

Sementara itu pihak pengurusan pangsapuri Ilham mendakwa tiada apa yang mampu dilakukan kecuali memberi notis amaran kepada penghuni keempat-empat blok pangsapuri itu.

Pengerusi Pengurusan Pangsapuri Ilham, Mohamed bin Ismail, 53, berkata pihaknya tidak mahu membebankan diri dengan menyaman setiap individu yang mendiami kawasan itu kerana tindakan berkenaan akan mendatangkan masalah yang lebih besar.

Oleh Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor

Anak luar nikah tidak bersalah

ISU mengenai anak luar nikah sering kali dipaparkan media hari demi hari. Ramai yang menganggap faktor ini biasa, malah tercetusnya idea untuk sekolah untuk anak luar nikah yang menjadi kesimpulan bagi apa yang dikhabarkan.

Persoalannya di sini, apakah ia banyak memberi manfaat yang baik atau sebaliknya pada jangka masa yang lebih panjang?

Jika kita lihat pada arak, ia diharamkan Islam kerana banyaknya kemudaratan daripada manfaat.

Jika sekolah untuk anak luar nikah ditubuhkan, apa manfaat yang kita boleh lihat dan kesannya adakah banyak ke arah positif atau negatif?


Pandangan manusia berbeza-beza, bagaimanapun, adakah wajar bagi kita melabel seorang individu seterusnya membuatkan masyarakat memandang serong pada anak-anak yang tidak bersalah ini.


Secara zahirnya, jika dilihat daripada sudut prosedurnya, ia mudah memasukkan anak yang tidak berbin atau binti ke sekolah khas untuk golongan ini, namun ini memberi persepsi yang buruk kepada masyarakat yang sering terdedah dengan perzinaan yang dianggap perkara biasa terutama di kalangan remaja.

Jumlah statistik anak luar nikah yang semakin menjadi-jadi dari hari ke hari bukan lagi menjadi tabu yang patut dirisaukan.

Malah, jumlah yang terlalu ramai memberi peluang kepada remaja yang berkecimpung dalam aktiviti tidak bermoral ini meletakkan anak mereka nanti pada tempat yang sudah disediakan.

Sikap malu pada Allah untuk melakukan maksiat akan terhalang daripada melakukannya.

Namun, apabila sikap malu sudah ditarik sedikit demi sedikit, semakin banyak maksiat dilakukan.

Kesimpulannya, kita perlu melihat sesuatu yang berlaku dengan melihat kepada punca akarnya supaya segala-galanya boleh dibanteras.

Kita perlu mengetahui peranan kita iaitu mengapa kita diciptakan di dunia ini dengan lebih serius memikirkan masalah akhlak yang semakin runtuh dalam masyarakat kita.

Akibat terlalu banyak hiburan, manusia akan lebih mudah leka, malah semakin ligat melakukan maksiat tanpa menyedari kesan buruk pada masa akan datang.

KHAIRIAH AMINUDDIN RIA
Kuala Lumpur

Juruenjin Feri Tiger Line ( Anuwat Boota ) diselamatkan Pasukan Gerakan Marin

LANGKAWI: “Saya seperti mati hidup semula. Jika tidak dijumpai anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM), pasti saya tidak bernyawa lagi,” kata Anuwat Boota, 20, juruenjin feri penumpang Tiger Line yang nyaris maut selepas terjatuh ke dalam laut berhampiran Pulau Rebak Besar, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.10 petang itu, Anuwat yang menaiki feri bersama enam kru lain dan sembilan penumpang pelancong asing dalam perjalanan dari Koh Lipe, Thailand ke Telaga Habour Park di Pantai Kok.


Namun, pemuda berasal dari Satun, Thailand itu bernasib baik apabila dia diselamatkan anggota PGM yang kebetulan meronda di kawasan itu selepas terapung selama hampir setengah jam.

Menceritakan detik cemas itu, Anuwat berkata, sebelum kejadian dia berjalan di tepi dinding feri itu sebelum tiba-tiba tergelincir dan terjatuh ke dalam laut. “Arus laut pula agak deras menyebabkan saya ditinggalkan oleh feri berkenaan. Semua kru dan penumpang memang tidak sedar saya terjatuh ke dalam laut.


“Dalam keadaan tenaga yang semakin berkurangan akibat letih berenang, saya menguatkan semangat melambai tangan kepada bot berkenaan dan apabila dekat baru saya tahu mereka adalah pasukan PGM. Jika mereka (PGM) tidak menemui saya, mungkin saya akan mati lemas kerana saya tidak mampu untuk bertahan lebih lama lagi,” katanya ketika ditemui sejurus diselamatkan tiga anggota PGM Langkawi diketuai Sarjan Mejar Shamsudin Arshad.


Anuwat berkata, dia juga bernasib baik kerana tergelincir dan jatuh di sisi kanan feri yang sedang bergerak.

Menurutnya, jika terjatuh di belakang feri yang ada kipas berpusing laju pasti risikonya lebih besar.


Anuwat yang juga anak bongsu dari lima beradik berkata, kejadian terjatuh ke laut itu adalah yang pertama dialaminya selepas bekerja dengan syarikat feri penumpang ulang-alik dari Langkawi-Koh Lipe itu sejak empat tahun lalu.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pemerintah PGM Wilayah 1 Langkawi, Asisten Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata mangsa bernasib baik kerana ditemui tiga anggota PGM Langkawi yang sedang meronda di kawasan itu.


“Ketika kejadian, seramai enam anak kapal termasuk kaptennya, Samart Thongrak serta sembilan penumpang tidak menyedari mangsa terjatuh ke laut.


“Ketika ditarik naik ke bot ronda oleh anggota PGM, mangsa dalam keletihan, selain gagal bercakap dengan jelas,” katanya di pangkalan PGM di Bukit Malut, semalam.

~Metro

Rempuh polis lepas asmara

PERMAISURI: Panik melihat kehadiran sebuah kereta peronda polis, seorang lelaki yang asyik memadu asmara bukan saja merempuh kenderaan pihak berkuasa terbabit, malah lari meninggalkan teman wanitanya yang terkial-kial memberikan penjelasan kepada polis mengenai tindakan mereka itu.

Kejadian berlaku pada jam 1.30 pagi semalam di kawasan parkir dan rehat di hadapan sebuah kolej swasta di bandar ini ketika pasangan terbabit memadu asmara di dalam sebuah Perodua Myvi di kawasan berkenaan tanpa menyedari dua anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah melihat perbuatan mereka.


Disebabkan terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa berkenaan, lelaki itu memecut keretanya dan bergesel dengan kereta peronda polis menyebabkan bumper hadapan kereta peronda itu tercabut.

Pasangan terbabit memecut meninggalkan tempat kejadian menyebabkan anggota polis terbabit mengejar sejauh satu kilometer sebelum kereta itu tersadai di bahu jalan akibat satu tayar hadapannya pecah.


Polis membawa pelajar itu bersama kereta teman lelakinya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu, di sini, untuk siasatan lanjut. Pelajar terbabit dibebaskan selepas keterangannya diambil manakala teman lelakinya masih menghilangkan diri.

Cara Elak kotoran tanam uri dan Bahan-Bahan

BAHAN-BAHAN...untuk menguruskan uri bahan-bahan diperlukan ialah periuk tanah, sarung tangan, kain putih, asam dan garam untuk membersihkan uri.
BAHAN-BAHAN...untuk menguruskan uri bahan-bahan diperlukan ialah periuk tanah, sarung tangan, kain putih, asam dan garam untuk membersihkan uri.

SENANG...uri adalah sebahagian daripada tempat bayi maka ia bersih dan perlu diperlakukan dengan baik serta tidak ditinggalkan merata-rata.
SENANG...uri adalah sebahagian daripada tempat bayi maka ia bersih dan perlu diperlakukan dengan baik serta tidak ditinggalkan merata-rata. BAGI mereka yang baru saja bergelar ayah, selain gementar ketika kali pertama melaungkan azan atau iqamat di telinga bayi, pastinya perasaan itu lebih bertambah tatkala menerima bungkusan daripada jururawat yang di dalamnya terkandung uri bayi.

Pasti mereka tertanya-tanya bagaimana menguruskan uri kerana sebelum ini tidak pernah diberitahu mengenainya. Ada yang mengambil jalan mudah dengan menyerahkan kepada ibu, nenek atau bidan kampung untuk dibersihkan dan ditanam dengan alasan tidak tahan melihat darah atau jijik untuk membasuhnya.

Ramai ibu bapa membuat persediaan menyambut kelahiran bayi dengan menyediakan pelbagai kelengkapan tetapi terlupa mendapatkan maklumat mengenai cara menguruskan uri mengikut syariat Islam sebenar.

Oleh itu muncullah pelbagai cara yang menjadi amalan di kalangan masyarakat Melayu, seperti uri yang ditanam bersama pelbagai benda seperti jarum, paku dan kain batik berfungsi untuk melindungi bayi.

Malah di sesetengah kawasan penanaman uri dipasang lilin pada waktu malam selama tujuh malam bagi mengelak kejadian pelik menimpa bayi.


Mengikut kepercayaan masyarakat zaman dulu, uri haruslah dibasuh bersih sehingga tiada darah tertinggal. Kemudian tempurung kelapa yang dicuci luar dan dalam dijadikan bekas mengisi uri ini. Tempurung berisi uri perlu dibungkus dengan kain putih dan diletakkan di dalam lubang yang digali di halaman rumah.

Sebelum lubang dikambus, paku, jarum dan asam keping yang diikat bersama ditanam sekali.

Barangan ini adalah simbolik melindungi uri daripada dihurung ulat di dalam tanah. Tidak habis di situ, tradisi diteruskan dengan menghidupkan bara api di permukaan tanah tempat uri ditanam kerana dipercayai mampu mengelak bayi mengalami kembung perut dan menangis sepanjang malam.

Mereka percaya uri yang ditanam mempunyai ‘hubungan’ dengan kehidupan bayi yang baru lahir. Selain itu, uri akan dibungkus menggunakan sarung bantal terpakai dan sebatang paku bagi mengurangkan masalah bayi menangis malam.

Menurut Pengarah Urusan ANP Solutions, Ade Azreena Mahadi, secara saintifik uri atau plasenta adalah ‘sarung’ yang terbentuk di dalam rahim ketika kehamilan dan bersambung dengan bayi menerusi tali pusat agar janin mendapat oksigen dan makanan daripada ibunya.

Oleh kerana ia sebahagian daripada tempat bayi maka ia bersih dan perlu diperlakukan dengan baik seperti ditanam� dan tidak ditinggal�kan merata-rata bagi mengelak dimakan anjing atau binatang lain.

Berdasarkan pengalaman sendiri, Ade Azreena mengakui dia turut melepaskan tanggung�jawab menguruskan uri kepada ibu mentuanya ketika melahirkan anak pertama.

“Ketika itu saya dan suami tidak terfikir menye�diakan kelengkapan menguruskan uri dan menyerahkan kepada ibu saja.

“Lama kelamaan selepas melihat rakan turut mengalami masalah sama, saya terfikir mengapa peralatan menguruskan uri tidak dijual di pasaran. Jika ada sudah tentu tidak perlu bersusah payah mencarinya,” katanya.

Ujar Azreena set asas pengurusan uri di pasaran itu, sama seperti set beng�kung dan pakaian bayi, set pengurusan uri juga harus disediakan lebih awal sebelum kelahiran.

Selepas mendapatkan pandangan agama maka lahirlah set asas pengurusan uri Grandma Secret yang baru saja dilancarkan dua bulan lalu.

Set berharga RM35 itu mengandungi bahan asas seperti periuk tanah, garam, asam jawa, kain putih dan sarung tangan getah. Fungsi periuk tanah adalah untuk meletakkan uri di dalamnya dan memudahkan ditanam supaya tidak dimakan binatang.

Asam jawa dan garam untuk membuang lendir dan darah ketika membersihkannya supaya tidak menarik deria binatang untuk menggali dan memakan uri.

“Uri adalah darah lendir yang keluar ketika melahirkan anak. Justeru bagi memudah�kan cucian, garam dan asam jawa boleh digunakan. Selepas itu barulah dibalut menggunakan kain putih dan dimasukkan di dalam periuk tanah sebelum ditanam. Bagi yang geli memegangnya, mereka boleh menggunakan sarung tangan disediakan,” katanya.

Ade Azreena berharap dengan kehadiran set asas pengurusan uri, ibu bapa terutama yang baru pertama kali mempunyai anak tidak lagi tercari-cari bahan untuk menguruskan uri. Mereka hanya perlu membeli di kedai dan mengikut peraturan yang tertera pada kotak itu.

Walaupun terdapat pelbagai amalan ketika menanam uri, sebenarnya ia lebih kepada kepercayaan yang menjadi amalan sejak turun temurun. Namun sekiranya amalan berkenaan boleh memesongkan akidah ia adalah haram.

“Jika kita benar-benar percaya bahawa kita kena tanam uri dengan bahan tertentu supaya anak tidak berkudis, mengelak daripada menangis malam dan sawan, keadaan itu jelas bertentangan dengan syarak dan boleh membawa kepada khurafat.

“Misalnya, ada juga yang percaya sekiranya uri ditanam bersama jarum atau paku, ia boleh mengelak daripada gangguan makhluk halus. Ini jelas salah dan berdosa kerana kita dilarang terus daripada percaya selain Allah,” katanya.

Tambahnya, tiada doa khusus dibacakan ketika menanam uri cukup sekadar membaca Bismillah dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw. Jika ada yang berkata cara menanam uri ada kaitan dengan perilaku anak, ini tidak benar.

Sebenarnya bagi mendapatkan anak soleh dan solehah, pasangan ibu bapa harus memainkan peranan. Mereka berdua haruslah menjaga kelakuan, makanan dan minuman anak-anak serta memastikan halal, bukannya di mana dan bagaimana uri ditanam.

Pada majlis itu juga turut dilancarkan set lengkap pengurusan jenazah Ar-Raudah di bawah syarikat HNZ Industries yang menyediakan peralatan lengkap menguruskan jenazah seperti kain putih, kapas, akar sintok dan kapur barus bagi memudahkan waris menguruskan kematian terutama pada waktu malam.

Menurut Nik Mohd Erizal, dia terpanggil untuk menjalankan perniagaan ini selepas anak saudara meninggal dunia pada jam 2 pagi.

“Disebabkan kedai belum dibuka, jadi sukar untuk menyediakan keperluan sedangkan jenazah perlu dikebumikan keesokan harinya. Selepas mendapat�kan pandangan daripada Majlis Agama Islam Kelantan dan memenuhi semua kriteria ditetapkan barulah saya mencari pembekal bahan untuk dimuatkan dalam Ar-Raudahkit ini,” katanya yang kini memperluaskan pasaran Ar-Raudahkit ke seluruh negara terutama di hospital, masjid dan rumah orang tua.

~Metro

Monday 19 September 2011

Pakai skirt bantah gabenor Jakarta, Fauzi Bowo

Kenyataan pakaian singkat penyebab rogol cetus kemarahan di Indonesia

JAKARTA: Sekumpulan wanita di Indonesia, mengadakan perhimpunan dengan memakai skirt pendek untuk memprotes kenyataan gabenor bandar raya Jakarta, Fauzi Bowo yang menyalahkan pakaian sebagai punca kejadian rogol berkumpulan di bandar raya itu.

Fauzi menggesa wanita supaya tidak memakai skirt pendek ketika menaiki pengangkutan awam di ibu negara selepas seorang wanita berusia 27 tahun diserang di dalam sebuah van mini awam awal bulan ini.
Polis gagal memberkas perogol tetapi mangsa mengesan seorang daripada penyerangnya dua minggu selepas kejadian ketika lelaki yang disyaki memandu kenderaan.

“Kami berada di sini untuk menyuarakan kemarahan. Gabenor bukan saja tidak memberi hukuman berat kepada perogol, tetapi menyalahkan pakaian wanita pula. Ini diskriminasi,” kata pengendali tunjuk perasaan, Chika Noya kepada AFP.

Dengan memakai baju dan skirt singkat, wanita itu menunjuk perasaan di bulatan utama di ibu negara sambil memegang sepanduk bantahan bertulis “Jangan ajar kami bagaimana berpakaian, suruh mereka jangan merogol” dan “Skirt mini saya, hak saya” dan “Rogol adalah jenayah berat”.

Nova berkata, gabenor perlu menjamin keselamatan wanita dalam pengangkutan awam.
Seorang penunjuk perasaan Dhyta Caturani, yang memakai skirt pendek dan baju terdedah berkata:

“Cara wanita berpakaian bukan penyebab keganasan seksual,”.

Bowo memohon maaf kelmarin atas kenyataannya tetapi gagal meyakinkan penunjuk perasaan.

Polis Jakarta merekodkan peningkatan kes rogol sehingga 41 kes tahun ini sehingga September di bandar dengan jumlah penduduk 12 juta, berbanding 40 kes sepanjang tahun 2010.

Caturani berkata, tunjuk perasan itu mendapat ilham daripada fenomena Pelacur Jalanan yang bermula di Toronto pada April di mana ratusan wanita dan lelaki mengadakan protes di jalan atas komen yang dibuat polis konstabel yang wanita perlu mengelak daripada memakai pakaian seperti pelacur bagi mengelakkan diri menjadi mangsa. – AFP

Singapura tertekan Malaysia mansuh ISA

SINGAPURA: Singapura berada dalam tekanan untuk melonggarkan sekatan politiknya selepas negara jirannya, Malaysia mengumumkan langkah untuk memansuhkan undang-undang keselamatan ketat selain bersikap lebih media dan melonggarkan peraturan protes.

Kumpulan hak asasi dan pembangkang berkata Singapura perlu mengikut peredaran masa dan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan dan dilihat pengkritik sebagai alat menyekat kebebasan.
Dalam satu langkah mengejutkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan minggu lalu yang kerajaannya akan memansuhkan ISA dan melonggarkan undang-undang lain yang dianggap sebagai sekatan kebebasan awam termasuk peraturan protes dan lesen tahunan akhbar.
“Tindakan Najib dibuat selepas mengambil pandangan daripada kumpulan masyarakat di negaranya,” kata Pengarah Untuk Hubungan Asia Tenggara Kumpulan Kempen Hak Asasi Politik dan Masyarakat di Pusat Pemikir berpangkalan di Singapura, Sinapan Samydorai.

“Jika Malaysia ke arah lebih terbuka, saya rasa mereka akan terus maju. Sudah tiba masanya Singapura bergerak ke depan,” katanya kepada AFP.

Singapura bagaimanapun menegaskan bahawa ISA, yang sebelum ini digunakan untuk menentang sayap kiri dan militan yang disyaki sejak beberapa tahun masih relevan dan mempertahankan yang peraturan media diperlukan untuk mengekalkan keharmonian sosial.

Tahanan ISA paling lama di republik itu adalah Chia Thye Poh, bekas wakil rakyat Parti Sosialis yang ditahan selama 23 tahun bermula 1966 hingga 1989, diikuti sembilan tahun tahanan rumah.
Sehingga kini, semua pembantah disediakan tempat memberi ceramah di mana semua penceramah perlu berdaftar dengan pihak berkuasa terlebih dulu dan perlu mendapatkan permit daripada polis di Singapura. – AFP

Diskaun feri RM3 dibatal di Langkawi

SEBAHAGIAN ahli Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Langkawi berhimpun secara aman di pekarangan Jetty Point, Langkawi bagi menggesa pengusaha feri meneruskan pelaksanaan tambang diskaun  RM3 kepada penduduk Langkawi.

(Gambar) SEBAHAGIAN ahli Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Langkawi berhimpun secara aman di pekarangan Jetty Point, Langkawi bagi menggesa pengusaha feri meneruskan pelaksanaan tambang diskaun RM3 kepada penduduk Langkawi.

Penduduk Langkawi tidak puas hati pengusaha batal potongan tambang

LANGKAWI: Kira-kira 100 ahli Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Langkawi berhimpun secara aman di pekarangan Jetty Point di sini, kelmarin bagi menggesa pengusaha feri meneruskan pelaksanaan diskaun tambang sebanyak RM3 kepada penduduk membabitkan laluan Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke pulau ini.
Mereka mendakwa langkah pengusaha feri membatalkan tambang diskaun mulai Jumaat lalu, membabitkan perjalanan pada cuti hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum itu dilakukan secara tidak sah kerana Kementerian Pengangkutan masih belum mengeluarkan surat rasmi mengenainya.
Tindakan terbaru syarikat feri itu menyebabkan penduduk Langkawi turut dikenakan kadar tambang sama dengan pelancong iaitu RM23 untuk dewasa dan kanak-kanak RM17 bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah berbanding RM20 dan RM14 sebelum ini.

Bagi perjalanan Langkawi-Kuala Perlis pula penumpang dewasa dari Langkawi turut dikenakan RM18 dan kanak-kanak RM13, berbanding RM15 dan RM10 iaitu kadar tambang lama.

Difahamkan, penduduk Langkawi boleh menikmati kadar tambang diskaun sebanyak RM3 itu dengan hanya mengemukakan kad pengenalan beralamat di Langkawi ketika membeli tiket di kaunter tiket di jeti Kuah.

Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Nor Saidi Nanyan, berkata mereka mempunyai pendirian bersatu untuk mendesak pengusaha feri mengenai isu itu dan akan membuat beberapa tindakan susulan termasuk menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kami mahukan mereka (pengusaha feri) meneruskan pemberian tambang diskaun sebanyak RM3 kepada penduduk Langkawi seperti sebelum ini membabitkan laluan Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke pulau ini.

“Pertimbangan semula perlu dibuat oleh pengusaha feri, pada masa sama mereka perlu mengembalikan hak kepada penduduk tempatan, sekali gus mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung mereka,” katanya.

Tinjauan di Jeti Kuah, di sini, mendapati peserta perhimpunan aman itu turut membawa beberapa sepanduk yang tertulis ‘Kembalikan Hak Kami’, ‘Penduduk Langkawi Bukan Bodoh’, ‘Syarikat Feri Penipu’ dan ‘Kami Bantah Pembatalan Diskaun’.-Berita Harian

Anak pengarah disyaki khalwat

Penguat kuasa JAIS, MPSepang periksa bilik hotel disewa jam 3 pagi

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan anak perempuan seorang pengarah agensi kerajaan beribu pejabat di sini kerana disyaki berkhalwat dengan teman lelakinya di sebuah hotel murah di Dengkil, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Difahamkan, perbuatan remaja perempuan berusia 19 yang bekerja sebagai kerani dan teman lelakinya berusia 26 tahun itu terbongkar selepas pegawai penguat kuasa JAIS dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyerbu bilik hotel disewa pasangan terbabit, kira-kira jam 3 pagi.
Sumber JAIS berkata, ketika serbuan anggota penguat kuasa JAIS dan MPSepang memberi salam, mengetuk pintu beberapa kali serta menunggu kira-kira setengah, sebelum ia dibuka seorang lelaki berpakaian lengkap.

Katanya, pihak berkuasa kemudian melakukan pemeriksaan lanjut, sebelum menemui seorang remaja perempuan berpakaian lengkap yang sedang bersembunyi di belakang pintu tandas bilik hotel terbabit.

"Ketika disoal siasat lelaki dan remaja perempuan terbabit mengaku mereka bukan pasangan suami isteri atau mahram yang sah. Malah, remaja berkenaan meminta dilepaskan kerana dia adalah anak seorang pengarah jabatan kerajaan di Putrajaya.

“Teman lelakinya pula merayu supaya dilepaskan kerana mereka sudah bertunang dan akan berkahwin tidak lama lagi.
"Bagaimanapun, helah pasangan terbabit terbongkar selepas remaja perempuan terbabit akhirnya mengaku bahawa mereka hanya kawan biasa dan tidak pernah bertunang dengan lelaki berkenaan," katanya ketika ditemui di sini.

Mereka adalah antara enam lelaki dan wanita berusia 19 hingga 27 tahun ditahan anggota penguat kuasa JAIS dan MPSepang dalam operasi cegah maksiat sempena sambutan Hari Malaysia di sekitar daerah Sepang, mulai jam 1 hingga 4 pagi, kelmarin.

Semua pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 29(1) (a) dan Seksyen 29(1) (b) Enakmen jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika didapati bersalah oleh mahkamah.-Berita Harian

Gambar Botol arak bersepah di taman

KAWASAN perumahan Taman Impian, Jalan Sungai Lembing jadi  ‘port’ remaja minum arak dan menghidu gam.
Gambar di KAWASAN perumahan Taman Impian, Jalan Sungai Lembing jadi ‘port’ remaja minum arak dan menghidu gam.


Beberapa kanak-kanak pernah cedera akibat terpijak serpihan kaca

KUANTAN: Taman kaca! Itulah nama yang selayaknya diberikan kepada taman permainan kanak-kanak di kawasan perumahan Taman Impian, Jalan Sungai Lembing apabila hampir keseluruhan taman itu dipenuhi serpihan kaca.

Lebih menjengkelkan dan memalukan, kaca itu adalah daripada serpihan botol arak yang sengaja dipecahkan remaja nakal yang melepak di situ setiap malam.

Selain menghabiskan masa meneguk air minuman syaitan itu, remaja terbabit turut menghidu gam dan ada kumpulan mat rempit yang sengaja membunyikan enjin motosikal dengan kuat sehingga mengganggu penduduk dan orang ramai yang mengunjungi taman itu.

Tinjauan Edisi Timur mendapati banyak alat permainan dan bangku yang disediakan rosak angkara perbuatan remaja nakal terbabit.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ibrahim, 46, berkata sikap tidak bertanggungjawab remaja terbabit bukan sekadar mengotorkan kawasan taman permainan itu tetapi turut menimbulkan kesan buruk kepada kanak-kanak yang bermain di situ.

Beliau berkata, setiap malam kumpulan remaja daripada kampung berhampiran menjadikan kawasan itu sebagai medan berlumba motosikal, membuat bising, minum arak dan menghidu gam.
Katanya, kawasan taman itu agak gelap kerana lampu jalan dilindungi pokok menyebabkan semakin mudah melakukan perbuatan tidak bermoral itu tanpa menghiraukan sensitiviti penduduk.

"Mereka bukan sekadar minum arak, malah lebih teruk lagi memecahkan botol minuman dan mencampakkannya di kawasan padang permainan yang kerap dikunjungi kanak-kanak untuk bermain.

"Tempat ini berbahaya kerana jika tersalah jalan, mereka akan terpijak kaca yang sengaja dibaling remaja nakal ini," katanya ketika ditemui Berita Harian.

Penduduk yang mahu dikenali Suri, 34, berkata beberapa kanak-kanak pernah luka di telapak kaki kerana terpijak botol kaca berselerakan di situ.

"Rumah saya berhampiran taman dan setiap malam budak-budak nakal ini datang berkumpul, menyanyi dan membunyikan enjin motosikal dengan kuat tanpa menghiraukan penduduk sekeliling.

"Bagaimanapun, kami tidak berani menegur perbuatan mereka kerana bimbang mereka akan membalas dendam kerana kami ada anak kecil dan bimbang akan dicederakan," katanya.

Suri bagaimanapun kesal kerana pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) yang ditubuhkan di kawasan perumahan di situ enggan membuat rondaan atau mengambil tindakan terhadap masalah di taman permainan terbabit.

"Mereka enggan membuat rondaan di sini kerana mendakwa taman permainan itu bukan kawasan kawalan mereka," katanya.

Mangsa banjir Pakistan merana

Foto
MANGSA banjir melaungkan slogan bantahan dan membuat sekatan jalan raya akibat kelewatan kerajaan Pakistan menghulurkan bantuan di Badin, wilayah Sindh, semalam.



AHLI Jamat-e-Islami Pakistan menurunkan bantuan dari lori untuk membantu mangsa banjir di Karachi.



Terpaksa jual harta, kanak-kanak mengemis, bantuan kerajaan belum tiba

PANGRIO, (Pakistan): Beribu-ribu mangsa banjir di Pakistan yang berjaya menyelamatkan diri berdepan masalah baru apabila bantuan yang lambat tiba memaksa ramai di antara mereka terpaksa menjual harta benda masing-masing untuk membeli makanan.
Pada masa sama, kanak-kanak berdepan risiko penyakit bawaan air tetapi terpaksa membantu ibu bapa dengan mengemis, manakala bantuan daripada kerajaan Pakistan belum menunjukkan tanda akan sampai.
“Kanak-kanak terpaksa mengemis di pasar dan daripada pemandu kereta yang lalu lalang. Tiada siapa datang membantu kami,” kata salah seorang daripada dua juta mangsa banjir di wilayah Sindh, Pakistan, Ahmed Junejo.

Sama seperti kebanyakan mangsa banjir, keluarga Junejo sedar bahawa mereka terpaksa berusaha sendiri untuk meneruskan kehidupan selepas bencana yang melanda.

“Saya hanya mahukan dua keperluan, makanan dan khemah untuk melindungi anak saya daripada panas dan hujan, itu saja. Tiada siapa datang melihat keadaan kami. Kami juga tidak tahu di mana letaknya kem bantuan, malah tiada siapa memberitahu kami mengenai bantuan kepada mangsa banjir. Kami masih menunggu,” katanya.

Kerajaan Pakistan yang berdepan masalah kewangan dilihat bertindak terlalu perlahan ketika membantu mangsa banjir yang setakat ini sudah menyebabkan lebih 300 orang terbunuh, manakala lebih 1.2 juta rumah musnah.
Sikap kerajaan Pakistan itu adalah sama seperti ketika banjir melanda negara itu tahun lalu, apabila pihak berkuasa gagal menghulurkan bantuan sewajarnya untuk mengurangkan kesengsaraan berjuta-juta penduduk, menyebabkan pihak tentera terpaksa campur tangan.

Lebih 800,000 keluarga yang terbabit dengan bencana alam itu terus tidak mempunyai tempat tinggal.

Tentera kembali aktif menghulur bantuan, melakukan perjalanan beratus-ratus kilometer menggunakan bot untuk menyelamatkan penduduk yang tinggal sehelai sepinggang.

Namun ia tidak masih tidak dapat mengurangkan kesengsaraan keluarga Jonejo yang kini terpaksa berlindung di belakang sebuah stesen minyak.

Beliau kehilangan 20 ekor kambing, yang menjadi punca pendapatan dan membekalkan susu untuk keluarganya. Kini keluarganya tidak mempunyai sebarang pendapatan dan tidak tahu apa harus dilakukan.

Junejo terpaksa menjual telefon bimbitnya dengan harga AS$3 (RM10) untuk membeli makanan. Jumlah itu hanya cukup untuk membeli sedikit tepung dan biskut yang boleh tahan beberapa hari saja.

“Saya mahu menjaga keluarga saya tetapi tidak berdaya. Saya rasa amat sedih melihat keadaan anak saya. Di negara ini pertolongan hanya datang jika anda mempunyai kenalan politik. Orang miskin seperti saya sering kali tidak dipedulikan,” katanya. – Reuters

Mail Brahim Simpan 30 sen sebulan tunai haji

pix_gal0


Mail Brahim mula menabung hasil pendapatan sebagai kelasi sejak 1950

KUCHING: Dengan berpegang kepada pepatah Melayu ‘sedikit sedikit, lama-lama jadi bukit’, seorang warga emas, Mail Brahim, 77, yang menyimpan 30 sen sebulan bermula 1950, akhirnya mempunyai simpanan mencukupi untuk menunaikan fardu haji, tahun ini.
Ketika memulakan tabungan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada awal 1950-an, Mail, yang ketika itu bekerja sebagai kelasi kapal dengan gaji kurang RM40 sebulan, memasukkan 30 sen ke dalam tabung botolnya.
Kesempitan hidup menyebabkan beliau yang perlu membantu keluarga, cuma dapat menabung 30 sen sebulan dengan keazaman suatu hari nanti wang itu dapat digunakan untuk menunaikan fardu haji.

“Alhamdulillah berkat niat baik, sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit. Apabila gaji bertambah, jumlah wang yang saya simpan juga saya tambah.

“Akhirnya saya dapat menggunakan wang itu untuk ke Tanah Suci tahun ini,” katanya ketika ditemui Berita Harian sewaktu menghadiri Kursus Perdana Haji 1432H di Pusat Penerangan Islam (IIC) di sini, semalam.

Mail adalah antara 421 bakal jemaah haji dari Bahagian Kuching dan Samarahan yang menghadiri kursus dua hari itu, yang berakhir semalam.
Bapa kepada empat anak itu berkata, beliau mendaftar untuk menunaikan fardu haji pada 2005 selepas jumlah dikumpul mencukupi dan bersyukur kerana disenaraikan ke Tanah Suci pada tahun ini.

Sementara itu, seorang tukang perahu, pembuat batu nisan dan napur, Zulkipli Madon, 64, dari Kampung Tanjung Bundong, Samarahan, berkata beliau mula menyimpan dengan Tabung Haji pada 2004 selepas mendapat hidayah untuk menunaikan fardu haji.

Setiap bulan beliau menyimpan antara RM400 hingga RM500 hasil daripada kerja membuat perahu, batu nisan dan napur penduduk kampung.

“Pada 2005 saya mendaftar untuk menunaikan haji bersama isteri, Rosiah Bujang, 57. Namun isteri saya yang turut menjual sayur dan telur masin di kampung, bertekad untuk mengumpul wang sendiri,” katanya.

Rosiah yang turut menyimpan RM400 hingga RM500 sebulan akhirnya berjaya mencukupkan wang haji, dengan pasangan suami isteri itu akan ke Makkah, dengan hasil pendapatan masing-masing.

Pasangan yang mempunyai 12 anak itu bersyukur kerana walaupun mereka hanya bekerja sendiri di kampung, namun hasilnya berkat dan boleh digunakan untuk menunaikan ibadah haji.- Berita Harian

27 rumah peneroka di Kuantan rosak akibat ribut

KUANTAN: Sebanyak 27 buah rumah peneroka di Felda Pancing Selatan dan Bukit Kuantan dekat sini rosak akibat ribut semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 minit pada jam 6 petang itu, 21 rumah di Pancing Selatan, dua daripadanya rosak teruk akibat dihempap pokok durian yang tumbang manakala enam rumah lagi di Bukit Kuantan. Anggota Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail ketika ditemui di sini berkata, sebuah kereta milik peneroka juga rosak akibat dihempap pokok durian yang tumbang itu.

"Selain dua rumah yang dihempap pokok itu, rumah lain rosak di bahagian atap, bumbung dan dinding...kebanyakan bumbung rumah diterbangkan angin kencang," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak Felda sedang membuat bancian bagi mengenalpasti jumlah sebenar kerugian sebelum bantuan disalurkan.

"Sebahagian besar mangsa kini menumpang di rumah saudara mereka sebelum rumah mereka dibaiki," katanya. - BERNAMA

Guru penolong kanan hadapi tuduhan pecah amanah

KANGAR: Seorang guru penolong kanan hal ehwal murid sebuah sekolah rendah di sini, hari ini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas tuduhan pecah amanah.

Farida Ariani Fadzil, 49, dituduh melakukan pecah amanah wang dari Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) berjumlah RM5,400 yang sepatutnya dibayar kepada 12 murid tahun satu pada 4 November 2008 di pejabat Sekolah Kebangsaan Behor Empiang, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, guru yang tidak diwakili peguam itu tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Hafiizh Abu Bakar mencadangkan mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh merayu jumlah jaminan itu dikurangkan kerana beliau adalah seorang ibu tunggal dan mempunyai tanggungan seorang anak.

Hakim Mahkamah Sesyen, Wan Norzanuar Wan Ahmad memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Tertuduh membayar ikat jamin itu. - BERNAMA

3 ditahan bantu siasatan kes bunuh pegawai kanan Majlis Daerah Lahad Datu

KOTA KINABALU: Polis hari ini menahan tiga lelaki, termasuk suspek utama, bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pegawai kanan Majlis Daerah di Lahad Datu, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata kesemua lelaki rakyat tempatan yang berusia dalam lingkungan 20-an itu dikesan hasil pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup (CCTV) sebuah bank di kawasan kejadian itu berlaku.

"Polis kini mencari enam lagi suspek untuk membantu siasatan...kesemuanya warga tempatan," katanya pada sidang media mengenai kejadian itu di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis turut menemui kenderaan Nissan Vanette berwarna biru yang dipercayai digunakan oleh kumpulan itu untuk melarikan diri.

Dalam kejadian itu, Ali Jamal, 47, mati dibelasah sekumpulan lelaki selepas dikatakan menegur mereka kerana melanggar papan tanda dan tembok tepi jalan di hadapan sebuah bank pada jam 4.30 pagi.

Ali meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian di Hospital Lahad Datu akibat kecederaan parah selepas dipukul dan ditikam di perut. - BERNAMA

Lelaki Vietnam ditemui mati di belakang pusat beli-belah di Sungai Petani

SUNGAI PETANI: Orang awam yang menggunakan jalan berdekatan bangunan usang lapan tingkat di belakang sebuah pusat beli-belah di sini terkejut dengan penemuan mayat seorang lelaki warga asing dalam keadaan tertiarap dalam lubang lif di bangunan itu hari ini.
Berdasarkan slip pendaftaran Pendatang Asing Tanpa Izin Jabatan Imigresen Malaysia yang ditemui, mangsa yang dikenali sebagai Truong Cong Yhanh, 26, dan berasal dari Vietnam sedang bekerja di negeri ini. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hashim Ali ketika dihubungi berkata, polis menerima aduan orang ramai berhubung penemuan mayat itu jam 9 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, mangsa berkemungkinan tergelincir ketika berada dalam bangunan usang terbabit, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengumpul maklumat berhubung kes itu.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa mungkin berada dalam bangunan itu untuk mengambil sarang burung yang banyak terdapat di tingkat atas bangunan terbabit.

Katanya, bangunan yang berdepan tapak pembinaan projek landasan kereta api berkembar yang sedang dijalankan itu juga sudah lama ditinggalkan dan tidak berpenghuni. - BERNAMA

Jualan kenderaan Ogos meningkat kepada 58,382 unit

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan keseluruhan pada Ogos meningkat 5.7 peratus kepada 58,382 unit daripada 55,208 unit yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lalu, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Jualan Ogos berkembang 16 peratus atau 8,130 unit berbanding bulan sebelumnya, berikutan hambatan membuat penyerahan bersempena Hari Raya dan penerimaan prosedur permohonan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2010.
Bagaimana pun, jumlah jualan bagi tempoh lapan bulan turun kepada 405,837 unit daripada 409,806 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu, kata MAA dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jumlan kenderaan penumpang pada Ogos meningkat kepada 52,559 unit daripada 49,642 unit pada tempoh yang sama tahun lalu manakala jualan kenderaan komersil meningkat kepada 5,823 unit daripada 5,566 unit.

Bagi tempoh Januari-Ogos, jualan kenderaan penumpang turun kepada 363,048 unit daripada 369,689 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu manakala jualan unit komersil meningkat kepada 42,789 unit daripada 40,117 unit.

Sementara itu, pengeluaran kenderaan keseluruhan pada Ogos, merosot kepada 44,789 unit daripada 50,858 unit yang dicatatkan pada tempoh bulan yang sama tahun lalu.

Pengeluaran kenderaan penumpang pada Ogos turun kepada 41,217 unit daripada 47,198 unit bagi tempoh yang sama 2010 dan pengeluaran kenderaan komersil merosot kepada 3,572 unit daripada 3,660 unit.
Mengenai tinjauannya, MAA berkata, jumlah jualan bagi September dijangka dikekalkan kepada paras Ogos. - BERNAMA

Isu pembantu rumah Indonesia masih buntu: Subramaniam

PUTRAJAYA: Isu pembekuan dalam penghantaran pembantu rumah ke Malaysia akan terus buntu sehinggalah kerajaan Indonesia menarik balik larangan itu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri pelantikan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (2011-2013) di sini hari ini, beliau berkata, kementeriannya tidak mengetahui sebab di sebalik kelewatan menarik balik pembekuan itu oleh kerajaan Indonesia sungguhpun Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani oleh kedua-dua negara pada penghujung Mei tahun ini.
Antara syarat yang dipersetujui dalam MoU itu adalah majikan Malaysia dijanjikan pembantu rumah gantian atau ganti rugi deposit daripada agensi pekerjaan yang terbabit sekiranya pembantu rumah itu melarikan diri, tidak efisien atau gagal ujian perubatan dalam tempoh enam bulan.
Persetujuan turut dicapai berhubung gaji pembantu rumah yang perlu ditentukan berdasarkan kedudukan pasaran semasa, namun kerajaan Indonesia akan memastikan bahawa gaji yang ditawarkan oleh majikan Malaysia tidak kurang daripada gaji minimum di Indonesia.

Subramaniam berkata, kerajaan Malaysia akan akur kepada segala perkara yang terkandung dalam MoU berkenaan dan kini terpulang kepada Indonesia untuk melaksanakan peranannya pula.

Ditanya sama ada beliau bersedia menemui kerajaan Indonesia untuk menyelesaikan isu itu, Subramaniam berkata: "Saya tidak mempunyai agenda yang segera. Tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, lazimnya mengadakan dialog tahunan bersama Indonesia."

Dalam perkembangan berasingan, Subramaniam berkata, Akta Gaji Minimum telah pun dikuatkuasakan sejak 15 September selepas diluluskan Parlimen.
"Kami akan melantik ahli Majlis Perundingan Gaji Minimum Kebangsaan. Selepas kami membuat pelantikan itu, majlis ini akan bersidang dan berbincang serta mengemukakan syor berhubung gaji minimum di negara ini," katanya. - BERNAMA

Kastam Selangor rampas 17 kereta bernilai RM1.4 juta

PELABUHAN KLANG: Kastam Selangor rampas 17 kereta bernilai RM1.4 juta dipercayai dicuri yang disimpan dalam enam kontena di Pelabuhan Utara, Rabu lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Zainul Abidin Taib, berkata seorang lelaki berusia 47 tahun yang bekerja sebagai ejen pengikrar ditahan dua hari kemudian kerana membuat ikrar palsu.
Katanya, lelaki itu mengikrar kereta berkenaan sebagai perabot.

Enam warga asing disyaki cuba rompak kapal ditahan

JOHOR BAHRU: Enam warga asing berumur antara 25 hingga 45 tahun ditahan ketika cuba merompak kapal dagang di kedudukan 2.4 batu nautika Barat Tanjung Piai Johor, awal pagi hari ini.
Mereka yang menaiki sebuah bot kayu berukuran lapan meter panjang dan menggunakan enjin sangkut Yamaha 40 kuasa kuda dikesan dalam keadaan mencurigakan, cuba merapati tiga buah kapal yang berlabuh di perairan tersebut. Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai bot mencurigakan itu ketika ia cuba merapati kapal MV Kandariah dan MV Al-Agaila pada 12.30 tengah malam.

"Bot peronda kita bergegas ke lokasi dan apabila sampai pada 12.40 pagi mendapati bot kayu itu cuba merapati sebuah lagi kapal iaitu MV Sky Jupiter, dipercayai untuk merompak," katanya.

Bercakap kepada pemberita di jeti Jabatan Laut, di sini, hari ini, beliau berkata, bot kayu itu terus meluncur laju melarikan diri apabila menyedari kehadiran bot peronda APMM.

Mereka berjaya ditahan selepas dikejar selama 10 minit dan dilepaskan tembakan amaran oleh peronda APMM.
Dalam siasatan awal, APMM mendapati kesemua suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan menemui pisau pemotong daging, tukul, kapak, spanar, pemutar skru, tali bersaiz satu inci dan buluh daripada mereka.

Zulkifli tidak menolak kemungkinan suspek turut menggunakan senjata api, namun mungkin dicampak ke dalam laut ketika mereka melarikan diri.

Modus operandi mereka ialah merapati dan menaiki kapal-kapal dagang yang berlabuh lalu merompak barangan kepunyaan anak-anak kapal.

Ini adalah kejayaan kedua APMM tahun ini menangkap perompak di perairan tersebut di mana tujuh perompak ditahan pada Mac lalu.

Zulkifli mengesahkan perairan Tanjung Piai dan Pengerang di Kota Tinggi itu adalah hotspot kejadian rompakan di laut. - BERNAMA sumberberitaharian

Hatrik Messi bantu Barca benam Osasuna

MESSI (kanan) dan Fabregas  meraikan kejayaan Barcelona ketika membelasah Osasuna di Nou Camp, kelmarin.
MESSI (kanan) dan Fabregas meraikan kejayaan Barcelona ketika membelasah Osasuna di Nou Camp, kelmarin


MADRID: Ledakan hatrik, Lionel Messi menghadiahkan kemenangan besar buat Barcelona yang membaham Osasuna 8-0 tanpa ihsan dalam pertemuan Liga Sepanyol, kelmarin - tindak balas pantas penyandang juara itu selepas mempamer aksi terumbang ambing sebelum ini.

Kelab gergasi dari Catalan itu yang dikritik seperti sudah ‘berpuas hati’ selepas mempersia-siakan peluang ketika mendahului ketika seri 2-2 menentang Real Sociedad dan AC Milan sebelum ini bangkit garang mendahului 5-0 pada babak pertama di Nou Camp.
Dua jaringan David Villa dan masing-masing satu daripada Cesc Fabregas, Xavi dan gol sendiri pertahanan Osasuna, Roversio serta hatrik Messi menyaksikan Barca melonjak ke tangga kedua La Liga meraih tujuh mata daripada tiga perlawanan.
“Ia sama seperti tahun lalu, orang akan bertanya mengapa kamu tidak menang namun ia adalah normal,” kata pertahanan Barca, Sergio Busquets. “Kami bermain dengan amat baik, kami memperoleh banyak peluang dan ia adalah persembahan yang amat baik.”

Dalam perlawanan lain Valencia menewaskan Sporting Gijon 1-0 hasil jaringan Roberto Soldado untuk mendahului carta liga hasil tiga kemenangan berturut-turut manakala Sevilla di tangga ketiga dengan tujuh mata selepas menumpaskan Real Sociedad 1-0.

Begitupun, kedudukan itu masih belum kukuh ketika Real Madrid, Malaga dan Real Betis yang masing-masing memiliki enam mata belum turun beraksi kelmarin.

Sedia hotel bajet dekat Baitullah | (Ashraf Muslim)

Kebajikan, kemudahan golongan sederhana juga perlu dijaga

PROJEK pembesaran Masjidil Haram yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi membuktikan keprihatinan pihak berkuasa negara itu memastikan jemaah yang tidak pernah lekang menziarahi Tanah Suci itu mendapat keselesaan diharapkan untuk melakukan ibadat.
Malah, pembangunan pesat dijalankan membangkitkan rasa bangga kerana pentadbiran negara Islam berupaya menjadikan negara hutan batu serta padang pasir itu berdiri gah seperti ibu kota negara maju yang lain.
Lebih menggembirakan, rakyat Malaysia turut menyumbangkan kepakaran untuk pembesaran serta pembangunan yang direncanakan sejak 2008 bertujuan menyediakan perkhidmatan terbaik dengan mengutamakan kemudahan umat Islam seluruh dunia melakukan ibadat haji lebih berkesan.

Sejak pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim bersama anakanda Baginda, Nabi Ismail, yang menjadi tempat berhimpun berjuta umat Islam menyahut seruan Ilahi setiap kali musim haji, kawasan sekitarnya melalui banyak fasa pembesaran.

Imam Abul Hassan Mawardi meriwayatkan, pada zaman Rasulullah SAW hingga ketika Saidina Abu Bakar diangkat menjadi Khalifah, Masjidil Haram tidak mempunyai dinding. Perluasan Masjidil-Haram bermula pada 638 Masihi oleh Saidina Umar ibn Khattab.

Beliau membeli rumah di sekeliling Kaabah dan diruntuhkan semua bagi tujuan perluasan dan usaha itu diteruskan Saidina Usman ibn Affan pada 647 Masihi. Pada 696 Masihi, cucu Saidina Abu Bakar bernama Abdullah ibn Zubair memperluaskan kawasan masjid dengan membeli gedung di sebelah timur dan selatan masjid.
Sementara di bahagian utara dan barat diperluaskan oleh Zaid bin Abdullah al-Harisi di bawah perintah Khalifah Bani Abbas, Abu Ja’afar al-Mansur. Pada 986 Masihi, Harun Ar-Rashid memasukkan gedung Dar An-Nadwah ke dalam masjid dan membina pintu Bab Ibrahim di sebelah barat.

Dari semasa ke semasa, pelbagai usaha dilakukan untuk mengindah serta memperbaiki keadaan di Masjidil Haram sebagai kemudahan kepada jemaah yang datang untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Fasa pertama pembesaran Masjidil Haram pada era moden bermula pada 1955 atas arahan pengasas Arab Saudi, Raja Abdul Aziz. Pada 1988, Raja Fahd Abdulaziz Al-Saud mengarahkan pembesaran kawasan solat dari 152,000 kepada 356,000 meter persegi.

Projek pembesaran kali ini dilakukan di bawah kepemimpinan Raja Abdullah Abdul Aziz di bawah tanggungan penuh Kerajaan Arab Saudi.

Namun, di sebalik kesungguhan menyediakan pelbagai kemudahan untuk melancarkan lagi perjalanan ibadat jemaah khususnya apabila tiba musim haji nanti, rasanya ada perkara terlepas daripada pandangan pihak berkenaan.

Walaupun hati kagum melihat bangunan tinggi dan hebat mengelilingi Masjidil Haram, pasti ada yang berpandangan kemajuan dicapai Makkah hanya memberi kelebihan kepada golongan tertentu khususnya mereka yang berkemampuan.

Pembesaran kawasan Masjidil Haram bagi memuatkan lebih ramai jemaah berikutan jumlah umat Islam yang datang menunaikan haji serta umrah meningkat setiap tahun menyebabkan banyak bangunan serta kawasan penempatan berhampiran dirobohkan.

Sebagai ganti, dibina hotel serta pusat beli-belah bertaraf tinggi menyebabkan hotel bertaraf sederhana serta mampu duduk untuk golongan kurang berkemampuan kian jauh daripada kawasan masjid.

Difahamkan, pakej haji bagi yang ingin menginap di hotel paling hampir dengan kawasan masjid boleh mencecah puluhan ribu malah ada yang hingga ratusan ribu. Bertuahlah bagi mereka yang mampu menyediakan kos sebanyak itu.

Bagaimana dengan yang kurang mampu? Ini yang bermain di fikiran kerana kebanyakan hotel serta rumah sewa murah terletak agak jauh daripada kawasan Masjidil Haram. Oleh itu, bagi yang tinggal agak jauh, mereka perlu berjalan ke masjid.

Apabila berada di masjid, mereka perlu bijak merancang kerana untuk berulang balik ke bilik penginapan akan memakan masa serta tenaga sedangkan fokus utama adalah untuk memperbanyakkan ibadat mendekatkan diri kepada Allah.

Mungkin inilah ujian untuk mereka yang nekad berkelana ke Makkah bagi menunaikan Rukun Islam kelima dan keredaan hati menempuh cabaran adalah hikmah terbesar yang akan mendekatkan lagi manusia dengan Penciptanya. Syaratnya, semua itu dilalui dengan hati yang ikhlas, redha serta tabah.

Sekadar cadangan, mungkin pihak berkuasa boleh membangunkan kawasan yang hampir dengan Masjidil Haram untuk menempatkan hotel bertaraf sederhana serta mampu duduk khusus untuk warga emas serta golongan kurang upaya.

Kemudahan itu sebagai memenuhi keperluan mereka yang berdepan masalah kesihatan, faktor umur dan kurang upaya yang ingin menunaikan haji serta umrah dengan selesa dengan kos tidak membebankan.

Pastinya usaha itu disambut baik jemaah haji yang menanam cita-cita menjejakkan kaki di Baitullah tanpa perlu risau memikirkan perkara membabitkan penempatan, aspek perjalanan atau tahap keselesaan apabila berada di sana nanti.

Sekadar berkongsi rasa serta pandangan kerana bagi golongan muda, berjalan jauh untuk ke masjid tidak ada masalah namun bagi yang berusia, alangkah baiknya dapat menyimpan tenaga berbaki untuk melaksanakan ibadat dengan tenang dan khusyuk. Wallahualam.

Oleh Ashraf Muslim

Umat Islam tidak boleh putus asa mohon rahmat

SYEIKH Muhammad Mutawalli Al-Sya’rawi, seorang ulama dan pendakwah tersohor dari Mesir menulis dalam bukunya: “Allah SWT menyebut mengenai hikmah di sebalik Dia menciptakan makhluk-Nya. Diberitahu-Nya bahawa hidup ini adalah tempat untuk ujian kepada kita supaya kita membuktikan yang kita melakukan ketaatan, ibadat dan beriltizam dengan peraturan Allah sebaik-baiknya.”

Tidak dinafikan kita dihidupkan atas dunia ini untuk diuji Allah. Pelbagai ujian akan kita hadapi sepanjang hayat dalam bentuk nikmat, penderitaan seperti bencana, kemalangan, kematian atau musibah lain yang menyayat hati.
Umat Islam harus menerima semua ujian dengan hati terbuka, tabah dan sabar. Semuanya adalah qada dan qadar Allah. Lebih daripada itu, kita tidak boleh mengeluh dan yang penting jangan berputus asa daripada rahmat Allah yang amat luas.
Imam al-Ghazali berkata, jika kita menyatakan beriman, bererti yakin adanya Allah SWT serta sifat-Nya, maka kita yakin Allah Maha Pemberi Rahmat. Oleh sebab itu, dalam berikhtiar hendaklah kita sandarkan harapan baik kepada-Nya dengan sepenuh hati.

Katanya, di samping berikhtiar hendaklah berdoa sebagai tanda mempunyai harapan baik kepada Allah SWT. Orang yang berputus asa dari rahmat Allah bererti tidak percaya kepada kemurahan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada yang putus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang yang sesat.” (Surah Al-Hijr, ayat 56)

Allah SWT tidak pernah memberhentikan rahmat untuk dikurniakan kepada hamba-Nya. Allah SWT mengurniakan kepada sesiapa saja yang mengharapkan rahmat-Nya.
Diriwayatkan oleh Abul-Laits dengan sanadnya dari Al-Hasan, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mempunyai seratus rahmat, diturunkan ke bumi hanya satu rahmat untuk penduduk dunia, maka mencukupi hingga habis ajal mereka, dan Allah akan mencabut rahmat yang satu pada hari kiamat untuk digenapkan pada yang sembilan puluh sembilan, dan diberikan-Nya kepada para wali dan ahli yang taat kepada-Nya.”

Kita diingatkan bahawa amal yang dikerjakan selama hidup di dunia ini belum tentu dapat membantu untuk masuk syurga. Kita akan masuk syurga kerana rahmat Allah SWT.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak seorang pun di antara kalian yang akan dibebaskan oleh amalnya. Sahabat bertanya: Tidak juga anda Rasulullah? Jawab Rasulullah: Tidak juga aku, kecuali bila Allah melimpahkan ampunan dan rahmat-Nya kepadaku.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah SWT tidak membeza-bezakan hamba-Nya untuk mendapatkan rahmat-Nya. Baik orang beriman atau berdosa, Allah SWT tetap akan memberi rahmat-Nya, kecuali syaitan dan orang kafir. Syaitan dan orang kafir tidak akan mendapat rahmat Allah sampai bila-bila.

Mereka yang tidak membuat amal soleh tidak akan mendapat rahmat Allah seperti dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Maka siapa yang mengharap mendapat rahmat dan bertemu dengan Tuhan-Nya, maka hendaklah beramal soleh.” (Surah Al-Kahfi, ayat 110).

Antara rahmat Allah pada hamba-Nya ialah dikurniakan syafaat dan syafaat Nabi Muhammad SAW adalah syafaat yang terbesar. Para rasul, nabi dan orang soleh lain hanya boleh memberi syafaat yang kecil saja.

Orang beriman seharusnya tidak berputus asa terhadap rahmat Allah SWT kerana Allah akan makbulkan hajat mereka yang tidak berputus asa memohon kepada-Nya. Selama kita mahu memohon kepada-Nya dengan keyakinan dan harapan kuat, Dia akan memakbulkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang yang beriman.” (Surah al-Anbiya, ayat 88).

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

Ahmad Shabery mahu Jawairiah ke Sukan SEA

LTAM tidak wajar sekat penyertaan atlit itu ke Jakarta

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan keputusan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) membatalkan penyertaan ratu tenis negara, Jawairiah Noordin beraksi di Sukan SEA XXVI di Indonesia November ini adalah tidak wajar.
Sehubungan itu, beliau mahu Jawairiah yang pernah menduduki ranking 111 remaja dunia dan memenangi tiga pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) Mei lalu perlu diberi peluang beraksi pada temasya dwitahunan itu.
“Saya fikir tidak wajar LTAM membatalkan penyertaan Jawairiah ke Sukan SEA dan dia perlu diberi peluang beraksi,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasek, Terengganu semalam.

Dia menambah: “Saya mengalu-alukan langkah MOM menubuhkan Majlis Timbang Tara bagi menangani isu ini. Namun, saya harap dapat diselesaikan dengan baik.”

Jawairiah mendakwa tindakan LTAM membatalkan penyertaannya bukan kali pertama, sebaliknya pernah berlaku pada Sukan Komanwel tahun lalu.sumberberita harian

Friday 16 September 2011

KONSORTIUM Logistik Bhd (KLB) maju hab halal di Thailand

Depoh kontena seluas 8 hektar dibangun semula dengan kerjasama MITI

KONSORTIUM Logistik Bhd (KLB), penyedia perkhidmatan logistik bersepadu, akan memajukan semula depoh kontenanya di Sadao, Selatan Thailand kepada hab bagi pemprosesan produk halal.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Che Azizuddin Che Ismail, berkata inisiatif yang akan dilaksanakan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berpotensi besar mengembangkan lagi skop perniagaan syarikat itu di luar negara.
“Hab halal yang akan direalisasikan pembangunannya tahun depan itu akan menjadi pusat bagi pemprosesan produk halal dari Thailand untuk di pasarkan ke negara itu, Malaysia dan Indonesia.

“Bagaimanapun sama ada produk halal yang bakal dikeluarkan di hab itu akan dilabelkan produk keluaran Malaysia atau Thailand akan ditentukan kelak,” katanya dalam temu bual bersama Berita Harian, di Shah Alam baru-baru ini.

KLB memiliki sebidang tanah seluas 24 hektar di Sadao iaitu kira-kira 7.5 kilometer daripada Bukit Kayu Hitam, Perlis.

Seluas lapan hektar daripada tanah itu telah dibangunkan sebagai depoh kontena tetapi operasinya telah dihentikan pada 2005.
Che Azizuddin berkata, KLB turut bercadang membangunkan lebihan tanah seluas 16 hektar lagi dengan pelbagai cabang perniagaan lain, termasuk membabitkan perkhidmatan logistik apabila hab halal berkenaan beroperasi kelak.

“Setakat ini kami masih dalam proses memuktamadkan persetujuan bersama MITI. Selepas hab halal itu beroperasi nanti ia akan menjadi perniagaan berpotensi untuk KLB,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KLB menjangka memuktamadkan pelupusan gudang lamanya di Puchong, Selangor bernilai RM41 juta bulan depan.

Hasil penjualan itu, katanya akan diguna untuk mengembangkan lagi perniagaan logistik syarikat itu.

Beliau menjelaskan, syarikat itu kini beroperasi di gudang barunya di Bukit Kemuning, Shah Alam dan Rawang, dengan masing-masing berkeluasan 200,000 kaki persegi dan 350,000 kaki persegi.

Gudang baru itu berhampiran dengan pelanggan utama syarikat itu, iaitu PROTON Holdings Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA).

Che Azizuddin berkata, pemindahan ke gudang baru itu mendapat reaksi positif PROTON dan PERODUA kerana KLB dapat memberi perkhidmatan lebih baik dan pantas kepada kedua-dua pelanggan utamanya itu.

“Gudang utama di Bukit Kemuning dan Rawang adalah kemudahan terbesar dan terbaik dan ia berhampiran dengan pusat pengeluaran utama pelanggan KLB,” katanya.

Selain memberikan perkhidmatan logistik kepada PROTON dan PERODUA, KLB turut menyediakan perkhidmatan kepada operasi pengeluaran kereta Kumpulan NAZA di Gurun, Kedah.

Kanada tolak keanggotaan Palestin dalam PBB

OTTAWA: Kanada akan membantah usul mengikhtiraf Palestin sebagai negara oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Perdana Menterinya, Stephen Harper selepas Presiden Palestin Mahmud Abbas bercadang mengemukakan keanggotaan negara itu dalam badan dunia itu.

"Tindakan unilateral seperti ini tidak membawa kesan dalam mencapai keamanan di Asia Barat," katanya kepada pemberita hari ini.

“Kanada berpendapat dalam soal ini (mencapai keamanan) ia amat mengecewakan dan kami akan membantah (keanggotaan Palestin) di PBB," katanya.

Abbas akan mengemukakan usul pengikhtirafan negara Palestin di PBB berdasarkan kewujudannya sebelum 1967 termasuk Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis. - AFP

Keputusan Tenis WTA Quebec City 2011

Suku akhir:
Tamira Paszek (AUT x3) klk Heather Watson (GBR) 6-4, 7-6 (7/5) Marina Erakovic (NZL) klk Daniela Hantuchova (SVK x1) 6-4, 6-4 Michaella Krajicek (NED) klk Rebecca Marino (CAN x4) 6-1, 6-3. - AFP

Pulau Honshu dilanda beberapa siri gempa kuat

TOKYO: Gempa kuat berukuran 6.6 magnitud di bawah laut disusuli beberapa gempa susulan menggegarkan Pulau Honshu, awal hari ini, kawasan sama tidak jauh dari gempa yang membawa tsunami, Mac lalu.

Setakat ini, tiada laporan mengenai kerosakan dan mereka yang cedera. Pihak berkuasa juga tidak mengeluarkan amaran tsunami selepas empat lagi gempa susulan melanda yang bermagnitud 6.2.
Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa pertama berlaku di 36.2 kilometer di dasar laut melanda kawasan di 108 kilometer di timur laut bandar pinggir pantai Hachinohe, iaitu 574 kilometer dari Tokyo, pada 4.26 pagi waktu tempatan.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik pula berkata, setakat ini tiada ancaman tsunami berikutan beberapa sisi gempa berkenaan.

Sementara itu, Agensi Meteorologi Jepun berkata, kemungkinan berlaku perubahan terhadap aras laut berikutan kejadian gempa pertama itu tetapi mengesahkan setakat ini tiada laporan mengenai kerosakan dan kecederaan. - AFPberita harian

68,000 jutawan Malaysia

pix_gal0
Rakyat kita dalam 'Kelab Sejuta Dolar' dunia 2015

KUALA LUMPUR: Jumlah individu di Malaysia yang tergolong dalam 'Kelab Sejuta Dolar' atau mereka dengan aset boleh dilaburkan bernilai lebih AS$1 juta (kira-kira RM3.09 juta) dijangka meningkat 68,000 orang menjelang 2015 daripada 32,000 ketika ini. Berita Harian

Zaid mohon maaf kepada PM isu ISA

KOTA BHARU: Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim semalam memohon maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Najib Razak kerana menyifatkan Perdana Menteri tidak akan membawa perubahan besar dalam pentadbiran negara.

Sambil memuji langkah terbaru Najib memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang sebelum ini lantang mahu akta berkenaan dimansuhkan, berkata beliau tidak melihat keputusan terbaru kerajaan itu sebagai gimik politik untuk meraih sokongan.

“Keputusan itu berpaksikan keperluan semasa negara. Saya anggap ini hadiah besar Perdana Menteri kepada rakyat yang cukup bermakna, saya rasa beliau menempa nama dalam sejarah kerana dengan tindakan itu memberi kembali kebebasan kepada rakyat, sekali gus menjamin bahawa demokrasi akan terus kekal di Malaysia.

“Sebagai seorang ahli politik yang sentiasa memperjuangkan demokrasi dan hak asasi rakyat, saya gembira dan bangga dengan perkembangan ini,” katanya pada sidang media di kediamannya di Pasir Hor, semalam.berita harian

Ahli perniagaan sogok pelacur untuk Berlusconi

30 wanita diupah bermesra dengan PM Itali

ROME: Seorang ahli perniagaan Itali memilih 30 wanita cantik dan muda termasuk pelacur untuk menghadiri parti di kediaman Perdana Menteri, Silvio Berlusconi dan mengupah sebahagian daripada mereka untuk melakukan hubungan seks dengan pemimpin itu, menurut dakwaan terbaru pendakwa raya.

Selepas memilih mereka, Gianpaolo Tarantini memberitahu apa yang perlu dipakai dan bagaimana cara bergaul di parti itu antara September 2008 dan Mei 2009, menurut dokumen yang baru difailkan di mahkamah.

Pendakwa raya sudah menamatkan siasatan mereka terhadap kegiatan Tarantini. Berlusconi tidak disiasat dalam kes itu tetapi ia sekali lagi memalukannya.

Dakwaan itu diketahui ketika sokongan awam kepada Berlusconi berada di tahap paling rendah. Hanya 24 peratus rakyat Itali mengatakan ‘amat’ atau ‘terlalu’ mempercayai ahli perniagaan berusia 74 tahun itu.

Pendakwa raya membentangkan keputusan siasatan dua tahun mengenai tuduhan bahawa Berlusconi menjadikan kediamannya di sini sebagai tempat pelacuran model muda, aktres dan bintang baru.

Di kalangan wanita itu termasuk dari Amerika Selatan dan Eropah Timur, dijemput untuk menghadiri parti itu termasuk ramai pelacur untuk berdamping bersama perdana menteri sebagai balasan mendapat wang tunai atau hadiah lain.

Seorang aktres terkenal Itali, Manuela Arcuri, didakwa dijanjikan peluang menjadi hos festival muzik tahunan San Remo jika setuju tidur dengan Berlusconi, namun enggan menerima tawaran itu.

Identiti sesetengah wanita itu dibocorkan oleh media Itali sebelum ini namun ini adalah kali pertama penyiasat membentangkan satu senarai berdasarkan perbualan 100,000 panggilan telefon yang dipintas pihak berkuasa.

Lapan orang disiasat kerana didakwa membantu dan bersubahat menjalankan kegiatan pelacuran Tarantini, ahli perniagaan dari pelabuhan Adriatic di Bari.

Dia membekalkan wanita kepada Berlusconi dengan harapan memajukan kepentingan perniagaan, kata pendakwa raya Bari.

Orang lain termasuk Sabina Began, model kelahiran Jerman yang sering digambarkan sebagai ‘ratu lebah’ di kalangan peminat wanita Berlusconi.
Lapan suspek terbabit ‘terbabit tanpa sedar dengan rancangan penjenayah’ sindiket pelacuran, kata pendakwa.

Tarantini, 36, dan isterinya ditahan awal bulan ini kerana disyaki memeras lebih £500,000 (RM2.44 juta) daripada perdana menteri sebagai balasan berdiam diri mengenai bekalan gadis pengiring.

Berlusconi mengakui mengadakan parti persendirian di kediamannya di Rome, Milan dan Sardinia namun menegaskan beliau tidak tahu jika ada tetamunya adalah pelacur.

Senarai wanita termasuk Patrizia D'Addario, pelacur yang membuat pendedahan suasana parti di kediaman Berlusconi dan menulis buku mengenai dakwaan hubungan seksnya dengan perdana menteri itu; Ioanna Visan, gadis pentas Romania; Francesca Lana, model pakaian dalam; Camille Cordeiro Charao, model majalah lelaki serta Barbara Montereale, Sara Tommasi dan Barbara Guerra.

Kejatuhan teruk populariti Berlusconi ditunjukkan dalam satu tinjauan yang dijalankan sebelum dakwaan itu muncul dan kemungkinan hasil pakej penjimatan bernilai 54 bilion euro (RM230.32 bilion) yang amat tidak popular yang diluluskan kerajaan Rabu lalu, mencetuskan pertempuran antara polis anti rusuhan dan penunjuk perasaan.

Rakyat Itali yang mempunyai ‘sedikit’ atau ‘tiada kepercayaan’ terhadap Berlusconi meningkat daripada 60 peratus kepada 64 peratus, menurut tinjauan IPR dijalankan oleh akhbar tengah-kiri Repubblica, satu daripada pengkritik tetap perdana menteri.

Kedudukan sokongannya merudum kepada 24 peratus berbanding 62 peratus sejurus selepas dipilih semula pada 2008. - Agensisumberberitaharian.com.my

Bunga Citra Lestari buang lemak 11 kg

INFO: Bunga Citra Lestari
Tempat/Tarikh Lahir: Jakarta, 22 Mac 1983
Album: Cinta Pertama dan Tentang Kamu
Filem: Cinta Pertama (2006), Kangen (2007), Ada Kamu, Aku Ada (2008) dan Saus Kacang (2008)
Sinetron: ABG, Senandung Masa Puber, Kalo Cinta Menggoda, Penjaga Hati, Rahasia Hati dan Bayu Cinta Luna (BCL)
Iklan: Pond's, Susu Penuh Krim Tora Bika, Honda Genuine Parts, Olay, Real Good, Toyota Avanza dan Daihatsu Gran Max
Penghargaan: Album Penyanyi Solo Ngetop (SCTV Music Awards 2006), Artis Sensasi (Editor's Choice Award 2007), Karya Produksi Kolaborasi Terbaik (duet dengan Ari Lasso) - (AMI Awards 2008), Artis Wanita Terbaik (Anugerah Planet Muzik (APM) 2009).



HAMPIR setahun melahirkan anak pertama hasil pernikahan dengan aktor dan pengacara asal Kuala Lumpur, Ashraf Sinclair, Bunga Citra Lestari atau ringkas disapa BCL sudah mampu tersenyum lebar.

Perjuangan panjang untuk mendapatkan semula berat asal berhasil, malah usaha keras itu turut mengembalikan bentuk tubuh BCL seperti sebelum melahirkan anak. Kesungguhan BCL meraih pujian ramai kerana wanita berusia 28 tahun itu kelihatan semakin anggun dengan penampilan seperti gadis remaja.

“Susah itu pasti tetapi di mana ada kemahuan di situ akan ada jalan yang terbentang. Saya lakukan ini dengan segala usaha dan puas melihat hasilnya.

“Percaya atau tidak, saya bukan saja berjaya mendapat bentuk tubuh asal malah berat juga berkurangan sedikit berbanding sebelum berkahwin dulu,” kata BCL.

Ibu kepada Muhammad Noah itu berkata, dia enggan jika berat badannya menurun lagi kerana bimbang menimbulkan masalah ketika mengendong anak kesayangannya.

Penyanyi Cinta Pertama (Sunny) itu memerlukan tenaga untuk menjaga anaknya, tambahan pula Noah semakin besar dan memerlukan pengawasan rapi daripadanya.
“Saya tidak mahu kurus lagi, nanti tidak kuat mendukung anak,” katanya tertawa sambil tidak menafikan semua itu diperolehnya selepas mengikuti program diet di mana pada tiga bulan pertama, beratnya turun 11 kilogram.

Sebagai selebriti yang sering menjadi tumpuan umum, BCL enggan membiarkan tubuhnya dibaluti lemak berlebihan hingga membuatkan dia kurang selesa berdepan dengan khalayak.

“Saya tidak mahu terus gemuk, lalu bersetuju menjalani rawatan menurunkan berat badan. Tiga bulan pertama, berat saya turun 11 kilogram.

Bukan saja pemakanan saya dititikberatkan, malah pola pemakanan bayi juga diajar dalam program ini. Seronoknya kerana saya sudah boleh memakai semula baju lama,” katanya yang berjaya menurunkan 25 kilogram dalam tempoh hampir setahun.

Sebagai suami, Ashraf ternyata dengan perubahan isterinya malah berat badannya juga menunjukkan penurunan kerana turut sama berdiet seperti BCL.

“Saya jadi terikut-ikut apabila BCL mengubah pola pemakanannya. Saya cuba menyesuaikan diri dengan perubahan itu dan akibatnya, berat badan saya juga merosot.

“Siapa yang tidak bangga melihat isteri kembali cantik, malah muat pakaian lamanya. Sebagai tanda sokongan terhadap usahanya, saya juga ikut berdiet. Jadual pemakanan kami suami isteri diubah sepanjang tempoh itu dan kerja keras itu berhasil apabila berat badan kami masing-masing turun,” katanya.

Di sebalik kegembiraan itu tiada siapa yang tahu BCL perna berdepan detik paling menyukarkan dalam dirinya apabila berlaku perubahan besar kepada tubuhnya. Ketika itu kata BCL, cuma Tuhan yang memahami segala gejolak yang ada dalam dirinya. Dia sering berasa rendah diri, meskipun perubahan itu adalah lumrah dan proses normal yang berlaku kepada seseorang yang baru bergelar ibu.

“Saya terkejut dengan perubahan yang berlaku. Dulu saya selesa dimanjakan sebagai anak dan isteri, tetapi semua itu berubah selepas bergelar ibu. Seiring waktu saya belajar menyesuaikan diri. Pada permulaan saya menerima kejutan apabila terpaksa menyusu anak dan melayaninya ketika dia menangis.

“Ditambah ketika itu saya sentiasa berdepan masalah kurang tidur, membuatkan saya jadi murung. Saya juga tidak tahu bagaimana mahu menyusunkan anak. Namun semua itu proses dan hari ini, saya betah melakukannya,” katanya.

Sempat berkongsi hal itu dengan ibunya tetapi perasaan itu kekal dirasainya. Bagaimana dorongan ibu yang tidak pernah putus memberikan kata semangat, BCL semakin yakin menggalas tanggungjawab baru itu.

“Alhamdulillah kerana saya mempunyai seorang ibu yang begitu penyabar. Sering dia menitipkan pelbagai nasihat dan pesanan apabila saya dihantui kemurungan. Suami juga sentiasa di sisi dan perlahan-lahan saya dapat menyesuaikan diri. Bergelar ibu bukan satu bebanan, sebaliknya ia mengundang keseronokan yang sukar untuk diterjemahkan dengan perkataan,” katanya.

BCL dan Ashraf diijabkabulkan di Masjid Al Bina, Senayan, Jakarta Selatan pada 8 November 2008 dikurniakan cahaya mata lelaki pada 22 September 2010. Kelahiran Noah mendesak BCL untuk memperlahankan aktiviti seninya dan beransur menerima tawaran kerana enggan anaknya terabai.

Dia juga tidak gelap mata dengan tawaran yang datang, sebaliknya bintang Saus Kacang itu menjadi lebih selektif untuk memberikan perhatian kepada anaknya.

“Ada tawaran tetapi saya mahu menyanyi dulu. Saya tidak betah meninggalkan Noah lama. Saya akan jadi rindu. Jika keluar pun, saya pasti ingin cepat pulang,” katanya.

Ashraf bagaimanapun tidak menghalang jika BCL ingin kembali aktif, malah akur kecintaan isterinya terhadap bidang hiburan yang masih menebal.

“Itu kerjayanya, saya sentiasa memberikan sokongan. Malah jika punya kesempatan saya juga akan mengikutinya ke lokasi,” kata Ashraf.

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Muhyiddin umum peruntukan RM2.4 juta naik taraf pasar, flet

GEORGETOWN: Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan peruntukan RM2.4 juta untuk naik taraf pasar awam Tasek Gelugor dan mengecat semula flet Taman Retina, Permatang Berangan, di sini.

Timbalan Perdana Menteri membuat pengumuman itu selepas melakukan tinjauan mesra di pasar awam itu dan tapak pembinaan landasan elektrik berkembar di sini sebentar tadi. http://www.bharian.com.my

Proton, Mitsubishi bangun enjin bersama

PROTON Holdings Bhd (Proton) akan mengembangkan pertalian erat dengan Mitsubishi Motors Corporation (MMC) ke peringkat lebih tinggi apabila mengumumkan sedang mengadakan perbincangan serius untuk menjalin pakatan strategik yang bakal menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama untuk membangunkan enjin sepenuhnya secara bersama menggunakan kemudahan Proton di negara ini.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pemasangan enjin baru itu akan dilakukan di kilang Proton di Tanjung Malim.


“Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Bagi pihak Proton, ia akan membuka peluang untuk penjimatan kepada kumpulan.

“Pada masa ini, kami masih mengadakan perbincangan dan apabila keputusan dicapai nanti, ia mungkin turut membabitkan pemasangan kenderaan Mitsubishi sama ada di kilang Proton di Tanjung Malim atau Shah Alam,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Proton di Subang Jaya, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh dan Timbalan Pengurus Besar (Korporat) MMC, Ryujiro Kobashi.


Mengulas lanjut, Syed Zainal Abidin berkata, selain pembangunan enjin dan pemasangan kenderaan Mitsubishi, perbincangan untuk pakatan itu turut membabitkan perkongsian perkakasan dan komponen antara kenderaan ‘Global Small’ Mitsubishi yang akan dilancarkan di Thailand bulan depan serta kereta kecil global Proton yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

“Perjanjian yang bakal dimeterai mungkin turut membabitkan teknologi masa depan MMC antaranya teknologi kenderaan elektrik dan hibrid,” katanya.-Metro

Polis Tonton Aksi Rempit Taktik Tahan Mat Rempit

KUALA LUMPUR: Taktik polis yang memberi peluang kepada Mat Rempit berpesta sambil menayangkan aksi berani mati sebelum melakukan serbuan membuahkan hasil apabila empat penunggang dan dua pembonceng motosikal ditahan di Dataran Merdeka, malam kelmarin.

Difahamkan, empat penunggang dan dua pembonceng motosikal itu asyik menunjukkan aksi berbahaya tanpa menyedari anggota polis berpakaian biasa menyaksikan pertunjukan mereka.


Dalam operasi Ops Ambang Merdeka dijalankan Unit Kuat Kuasa Khas (U3K) Trafik Kuala Lumpur kira-kira jam 12 tengah malam itu, enam suspek terbabit cuba meloloskan diri dengan meninggalkan motosikal mereka di kawasan berkenaan, tetapi gagal.

Ketua Unit Kuat Kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid, berkata Mat Rempit terbabit menunjukkan pelbagai aksi bahaya di jalan raya sebelum lokasi berkenaan digempur.


“Empat penunggang motosikal itu ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya.


“Dua lagi pembonceng motosikal ditahan mengikut Seksyen 111, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan semua Mat Rempit itu berusia 18 hingga 19 tahun,” katanya.

Menurutnya, 21 motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh manakala 58 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.


Sementara itu, seorang penunggang motosikal parah selepas dirempuh sebuah kereta Honda di Bulatan Dato Onn berhampiran Bank Negara, kira-kira jam 2 pagi.

Difahamkan, kereta dipandu seorang lelaki berusia 20-an yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol membuat pusingan di bulatan itu sebelum merempuh seorang penunggang motosikal.


Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut manakala pemandu kereta dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar bagi tindakan lanjut.

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

Temui raifal mirip AK47

RAMPAS...Inspektor Jakariya Jupakal menunjukkan senapang tiruan yang menyerupai AK47 sambil diperhatikan Hamza (kiri) di Kota Kinabalu, semalam.
RAMPAS...Inspektor Jakariya Jupakal menunjukkan senapang tiruan yang menyerupai AK47 sambil diperhatikan Hamza (kiri) di Kota Kinabalu, semalam.

KOTA KINABALU: Mengejutkan apabila polis turut menemui sebutir bom dinamit buatan sendiri serta raifal mirip AK-47 dipercayai tiruan, selain pelbagai jenis dadah apabila menahan satu pasangan kekasih dalam serbuan di sebuah taman perumahan di Jalan Damai di sini, Isnin lalu.

Dalam serbuan jam 10.30 pagi itu, polis merampas satu peluru AK-47, kanister dan satu bungkusan plastik mengandungi bebola kecil dipercayai digunakan sebagai peluru untuk rompakan bersenjata.


Selain itu, polis menemui beberapa peralatan pecah rumah termasuk kuku kambing, parang, pisau Rambo, pisau berbentuk sabit, pemutar skru dan pemotong besi dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan pecah rumah sekitar bandar raya ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terhadap kenderaan jenis Nissan di Jalan Damai dan menahan seorang lelaki berusia 32 tahun serta wanita berusia 22 tahun kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah.


“Pada mulanya, serbuan itu bagi mengesan aktiviti pengedaran dadah, namun siasatan lanjut membawa kepada penemuan senjata api tiruan dan peralatan pecah rumah di rumah suspek.


“Hasil pemeriksaan lanjut menemui beberapa jenis dadah termasuk pil Eramin 5 dan masing-masing satu peket dipercayai mengandungi ganja dan syabu selain peralatan termasuk alat penimbang digital, pembalut aluminium dan pemetik api dianggarkan bernilai RM1,150,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, semalam.

Beliau berkata, lebih mengejutkan, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui pelbagai senjata dan peralatan pecah rumah dalam sebuah bilik di rumah sama.


“Antara senjata ditemui ialah bom buatan sendiri, raifal AK-47 dipercayai tiruan, pistol tiruan, lima gas bagi meledakkan peluru, pisau Rambo dan sebilah sabit. “Selain itu, polis merampas pelbagai peralatan pecah rumah seperti kuku kambing, pemotong besi dan pemutar skru yang disembunyikan dalam bilik berkenaan,” katanya.

Menurutnya, susulan penahanan lelaki tempatan itu serta kekasihnya, warga China berusia 22 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, polis menahan dua lagi lelaki dipercayai penjual senjata berkenaan.


“Lelaki terbabit masing-masing berusia 33 tahun ditahan pada Rabu dan Khamis lalu di sekitar Kota Kinabalu, namun tiada rampasan senjata dilakukan.


“Siasatan mendapati suspek pertama mempunyai kesalahan kes dadah lampau. “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 36 (1), Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata tiruan dan Seksyen 39A(1), Akta Dadah Berbahaya 1992 kerana memiliki dadah,” katanya.

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

Kondom wanita dari China kecil, tidak berkualiti

JOHANNESBURG: Mahkamah Afrika Selatan melarang kerajaan membeli 11 juta kondom wanita dari China atas alasan ia terlalu kecil untuk kegunaan di negara berkenaan.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan Afrika Selatan memberikan kontrak pembekalan kondom wanita itu kepada syarikat Siqamba Medical.


Akhbar Beeld melaporkan, syarikat terbabit bercadang mendapatkan bekalan itu dari China.

Sebuah syarikat yang bersaing dengan Siqamba Medical, Sekunjalo Investments Corp, mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Pretoria selepas gagal dalam bidaan kontrak berkenaan.


Menurut Sekunjalo, kondom wanita yang mereka bekalkan 20 peratus lebih besar berbanding produk China itu.


Hakim Mahkamah Tinggi Pretoria juga memutuskan, kondom wanita dari China itu dibuat dengan bahan yang tidak sesuai, selain gagal mendapat kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). - AFsumbermetro

Sotong Kering Ada Batu Ladung Timah

BUKTI...Mohd Shukri menunjukkan ketulan timah yang ditemui dalam sotong yang dibeli.
BUKTI...Mohd Shukri menunjukkan ketulan timah yang ditemui dalam sotong kering yang dibeli.

KUALA LUMPUR: Sotong batu ladung. Itu kejutan diterima seorang kakitangan sebuah sekolah di sini, selepas mendapati lebih 10 kilogram (kg) sotong kering yang dibeli bagi majlis kenduri kahwin anak keduanya mengandungi bahan tambahan berbentuk ketulan timah, seberat 2kg yang dijahit pada beberapa bahagian sotong itu.

Mohd Shukri Taib, 56, berkata dia membeli sotong kering berkenaan secara borong di sebuah kedai pemborong makanan kering di Selayang, di sini, pagi kelmarin.


Menurutnya, selepas membawa pulang makanan kering itu, dia bersama isteri mula menyiang sotong itu menjadi kepingan kecil dan terkejut apabila mendapati beberapa bahagian sotong yang bersaiz besar sukar dikerat terutama pada bahagian ekor dan kepala.

“Selepas membelek sotong itu, saya terkejut apabila menjumpai dua biji batu ladung (pemberat yang digunakan untuk memancing) terselit di celah ekor manakala dua lagi di kepala.


“Lebih mencurigakan, ketulan itu seolah-olah sengaja diletakkan kerana ia dijahit dengan rapi menggunakan tali tangsi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Selepas menjumpai ‘bahan tambahan’ itu, Mohd Shukri dan isteri memeriksa semua sotong yang belum disiang dan mendapati semuanya mengandungi ketulan timah.

Mohd Syukri berkata, sebelum ini keluarganya sudah biasa membeli barang makanan kering di kedai berkenaan, tetapi dalam kuantiti yang kecil.


“Boleh dikatakan saya pelanggan tetap kedai itu dan kerap membeli barang makanan kering seperti sotong, ikan masin atau udang kering, namun ini kali pertama saya membeli dalam kuantiti yang banyak.

“Saya mengesyaki ketulan timah itu hanya diletakkan pada makanan kering yang dijual secara pukal bagi mengelak taktik itu dikesan pembeli yang hanya menyedari perkara ini selepas pulang ke rumah,” katanya yang turut membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).


Katanya, boleh dikatakan setiap sotong kering bersaiz sederhana dan besar mengandungi tiga hingga empat ketulan timah dan tidak dapat dilihat pembeli sekiranya tidak dibelek dengan teliti.


Menurut Mohd Shukri, dia membeli makanan kering itu pada harga RM44 sekilogram dan nilai keseluruhan bagi satu bungkusan besar yang dibeli berjumlah RM455 dengan berat lebih 10 kilogram.


“Saya enggan menuduh, namun musykil dengan tindakan menyelit ketulan timah itu pada sotong kering berkenaan. Saya mengesyaki ia mungkin sengaja dijahit bagi menipu berat sebenar sotong kering itu yang mungkin tidak mencecah nilai yang tertera,” katanya.


Katanya, selepas ditimbang semula, berat sebenar sotong itu kira-kira lapan kilogram manakala berat ketulan batu yang ditemui dianggarkan dua kilogram.


Mohd Shukri berkata, dia bukan sahaja tertipu, malah terpaksa berbelanja lebih untuk membeli sotong tambahan untuk kenduri anaknya.


Sementara itu, Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berdasarkan aduan yang diterima bagi mengenal pasti punca ketulan batu itu diselit pada sotong berkenaan.


“Kita akan menyiasat kes itu kerana berdasarkan maklumat kemungkinan wujud unsur penipuan timbangan bagi makanan kering yang dijual,” katanya.

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my