Sunday 11 September 2011

Buat amal kebajikan untuk cari lailatulqadar

Soalan:
BAGAIMANAKAH caranya bagi memperoleh lailatulqadar? Apa yang saya faham, malam lailatulqadar adalah malam yang tidak seorang pun mengetahuinya (kecuali Nabi). Bagaimana pula dengan orang yang mengakui bahawa ia sudah bertemu lailatulqadar.

Jawapan:

Allah SWT berfirman dalam surah al-Qadr yang bermaksud: Sesungguhnya Kami turunkan al-Quran pada malam penuh kemuliaan. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan.

Satu hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikan (beribadah) pada lailatulqadar dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala kepada Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang sudah lalu.”

Cara untuk memperoleh lailatulqadar atau malam yang penuh dengan berkat adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan pelbagai aneka kebajikan. Kebajikan yang dimaksudkan di sini, bukan semata-mata membaca al-Quran dan beriktikaf, tetapi juga kebajikan sosial.

Begitu juga menuntut ilmu yang bermanfaat serta menghiasi diri dengan akhlak mulia sambil membersihkan jiwa dari segala macam penyakit kejiwaan seperti angkuh, iri hati, riak dan sebagainya. Ibadah yang dilakukan secara tulus dan ikhlas akan berbekas ke dalam jiwa sehingga pada akhirnya ia memperoleh kedamaian, ketenangan, lalu mengubah secara total sikap hidupnya. Boleh jadi sebelum ini kita masih melakukan dosa besar atau dosa kecil yang belum mohon ampun tetapi pada saat tertentu timbul kesedaran di dalam hati. Kesedaran akan dosa dan kelemahan manusia di hadapan Allah sehingga membawa seseorang untuk mendekatkan diri kepada-Nya sambil menginsafi kesalahan. Kesedaran dan keinsafan itulah yang mengubah sikapnya 180 darjah. Kesedaran seperti itu bila di rasakan oleh seseorang, maka itulah bukti bahawa ia telah memperoleh lailatulqadar.
Kesedaran ini, memang boleh timbul bila-bila saja. Tetapi pada malam-malam Ramadan, khususnya pada akhir bulan mulia itu, kesempatan untuk mendapatkannya sangat besar bagi mereka yang mengasah dan mengasuh jiwanya sejak awal Ramadan.

Lebih-lebih lagi Allah SWT sudah menetapkan salah satu malam pada bulan itu untuk tujuan berkenaan. Seperti yang sudah diketahui bahawa pada malam itu, malaikat turun. Malaikat adalah makhluk Allah SWT yang selalu berbuat kebajikan.

Siapa yang ditemani malaikat, maka tentulah ia akan terus terdorong untuk melakukan kebajikan.

Sebenarnya, lailatulqadar adalah malam yang sangat mulia. Manusia tidak dapat membayangkan betapa mulianya malam berkenaan. Kerana itu ketika menjelaskan Lailatul Qadar, al-Quran mendahulukan ungkapan “Wama adraka” (Apakah yang menjadikan engkau mengetahui apakah lailatulqadar?) Maksudnya, engkau tidak dapat mengetahui dan menjangkau secara keseluruhan betapa hebat dan mulianya malam itu. Kata-kata manusia tidak dapat melukiskan kehebatan malam berkenaan.

Namun, ini tidak bererti malam mulia itu tidak dapat ditemui. Sebab, mengapa Rasulullah SAW menganjurkan umatnya untuk mempersiapkan diri menyambut malam berkenaan dengan iktikaf dan ibadat, khususnya pada malam ganjil sesudah 20 hari Ramadan.

Sememangnya boleh jadi ada orang yang mengaku atau salah faham sehingga ia menyangka sudah bertemu malam mulia itu. Ada juga pandang yang mengatakan bahawa tanda yang paling jelas adalah adanya perubahan pada sikap dan perilaku seseorang.

Lailatulqadar digambarkan sebagai salam kedamaian sehingga terbitnya fajar dan ini menjadikan hati seseorang yang memperolehnya sentiasa damai dan tenteram sehingga membawa pemiliknya dari ragu kepada yakin, dari bodoh kepada ilmu, dari lalai kepada ingat, khianat kepada amanah, riak kepada ikhlas, lemah kepada teguh serta sombong kepada sedar diri.

Ketika lailatulqadar, kalangan malaikat turun. Ini menjadikan seseorang yang mendapatkannya selalu terdorong kepada kebaikan kerana adanya bimbingan malaikat. Perubahan inilah yang menjadi bukti pertemuannya dengan lailatulqadar. Demikianlah, Wallahua’lam. -berita Harian

No comments:

Post a Comment