Friday 16 September 2011

Bunga Citra Lestari buang lemak 11 kg

INFO: Bunga Citra Lestari
Tempat/Tarikh Lahir: Jakarta, 22 Mac 1983
Album: Cinta Pertama dan Tentang Kamu
Filem: Cinta Pertama (2006), Kangen (2007), Ada Kamu, Aku Ada (2008) dan Saus Kacang (2008)
Sinetron: ABG, Senandung Masa Puber, Kalo Cinta Menggoda, Penjaga Hati, Rahasia Hati dan Bayu Cinta Luna (BCL)
Iklan: Pond's, Susu Penuh Krim Tora Bika, Honda Genuine Parts, Olay, Real Good, Toyota Avanza dan Daihatsu Gran Max
Penghargaan: Album Penyanyi Solo Ngetop (SCTV Music Awards 2006), Artis Sensasi (Editor's Choice Award 2007), Karya Produksi Kolaborasi Terbaik (duet dengan Ari Lasso) - (AMI Awards 2008), Artis Wanita Terbaik (Anugerah Planet Muzik (APM) 2009).



HAMPIR setahun melahirkan anak pertama hasil pernikahan dengan aktor dan pengacara asal Kuala Lumpur, Ashraf Sinclair, Bunga Citra Lestari atau ringkas disapa BCL sudah mampu tersenyum lebar.

Perjuangan panjang untuk mendapatkan semula berat asal berhasil, malah usaha keras itu turut mengembalikan bentuk tubuh BCL seperti sebelum melahirkan anak. Kesungguhan BCL meraih pujian ramai kerana wanita berusia 28 tahun itu kelihatan semakin anggun dengan penampilan seperti gadis remaja.

“Susah itu pasti tetapi di mana ada kemahuan di situ akan ada jalan yang terbentang. Saya lakukan ini dengan segala usaha dan puas melihat hasilnya.

“Percaya atau tidak, saya bukan saja berjaya mendapat bentuk tubuh asal malah berat juga berkurangan sedikit berbanding sebelum berkahwin dulu,” kata BCL.

Ibu kepada Muhammad Noah itu berkata, dia enggan jika berat badannya menurun lagi kerana bimbang menimbulkan masalah ketika mengendong anak kesayangannya.

Penyanyi Cinta Pertama (Sunny) itu memerlukan tenaga untuk menjaga anaknya, tambahan pula Noah semakin besar dan memerlukan pengawasan rapi daripadanya.
“Saya tidak mahu kurus lagi, nanti tidak kuat mendukung anak,” katanya tertawa sambil tidak menafikan semua itu diperolehnya selepas mengikuti program diet di mana pada tiga bulan pertama, beratnya turun 11 kilogram.

Sebagai selebriti yang sering menjadi tumpuan umum, BCL enggan membiarkan tubuhnya dibaluti lemak berlebihan hingga membuatkan dia kurang selesa berdepan dengan khalayak.

“Saya tidak mahu terus gemuk, lalu bersetuju menjalani rawatan menurunkan berat badan. Tiga bulan pertama, berat saya turun 11 kilogram.

Bukan saja pemakanan saya dititikberatkan, malah pola pemakanan bayi juga diajar dalam program ini. Seronoknya kerana saya sudah boleh memakai semula baju lama,” katanya yang berjaya menurunkan 25 kilogram dalam tempoh hampir setahun.

Sebagai suami, Ashraf ternyata dengan perubahan isterinya malah berat badannya juga menunjukkan penurunan kerana turut sama berdiet seperti BCL.

“Saya jadi terikut-ikut apabila BCL mengubah pola pemakanannya. Saya cuba menyesuaikan diri dengan perubahan itu dan akibatnya, berat badan saya juga merosot.

“Siapa yang tidak bangga melihat isteri kembali cantik, malah muat pakaian lamanya. Sebagai tanda sokongan terhadap usahanya, saya juga ikut berdiet. Jadual pemakanan kami suami isteri diubah sepanjang tempoh itu dan kerja keras itu berhasil apabila berat badan kami masing-masing turun,” katanya.

Di sebalik kegembiraan itu tiada siapa yang tahu BCL perna berdepan detik paling menyukarkan dalam dirinya apabila berlaku perubahan besar kepada tubuhnya. Ketika itu kata BCL, cuma Tuhan yang memahami segala gejolak yang ada dalam dirinya. Dia sering berasa rendah diri, meskipun perubahan itu adalah lumrah dan proses normal yang berlaku kepada seseorang yang baru bergelar ibu.

“Saya terkejut dengan perubahan yang berlaku. Dulu saya selesa dimanjakan sebagai anak dan isteri, tetapi semua itu berubah selepas bergelar ibu. Seiring waktu saya belajar menyesuaikan diri. Pada permulaan saya menerima kejutan apabila terpaksa menyusu anak dan melayaninya ketika dia menangis.

“Ditambah ketika itu saya sentiasa berdepan masalah kurang tidur, membuatkan saya jadi murung. Saya juga tidak tahu bagaimana mahu menyusunkan anak. Namun semua itu proses dan hari ini, saya betah melakukannya,” katanya.

Sempat berkongsi hal itu dengan ibunya tetapi perasaan itu kekal dirasainya. Bagaimana dorongan ibu yang tidak pernah putus memberikan kata semangat, BCL semakin yakin menggalas tanggungjawab baru itu.

“Alhamdulillah kerana saya mempunyai seorang ibu yang begitu penyabar. Sering dia menitipkan pelbagai nasihat dan pesanan apabila saya dihantui kemurungan. Suami juga sentiasa di sisi dan perlahan-lahan saya dapat menyesuaikan diri. Bergelar ibu bukan satu bebanan, sebaliknya ia mengundang keseronokan yang sukar untuk diterjemahkan dengan perkataan,” katanya.

BCL dan Ashraf diijabkabulkan di Masjid Al Bina, Senayan, Jakarta Selatan pada 8 November 2008 dikurniakan cahaya mata lelaki pada 22 September 2010. Kelahiran Noah mendesak BCL untuk memperlahankan aktiviti seninya dan beransur menerima tawaran kerana enggan anaknya terabai.

Dia juga tidak gelap mata dengan tawaran yang datang, sebaliknya bintang Saus Kacang itu menjadi lebih selektif untuk memberikan perhatian kepada anaknya.

“Ada tawaran tetapi saya mahu menyanyi dulu. Saya tidak betah meninggalkan Noah lama. Saya akan jadi rindu. Jika keluar pun, saya pasti ingin cepat pulang,” katanya.

Ashraf bagaimanapun tidak menghalang jika BCL ingin kembali aktif, malah akur kecintaan isterinya terhadap bidang hiburan yang masih menebal.

“Itu kerjayanya, saya sentiasa memberikan sokongan. Malah jika punya kesempatan saya juga akan mengikutinya ke lokasi,” kata Ashraf.

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

No comments:

Post a Comment