Friday 16 September 2011

Burger Malaysia di jalan Phonm Penh , Ziki's Burger


BURGER Ziki's kini menjadi kegemaran anak muda di Kemboja.

SIAPA sangka konsep dan cita rasa burger jalanan yang popular di Malaysia juga mampu menempa nama di luar negara terutama negara-negara Indo China seperti Kemboja dan Vietnam. Idea yang mendapat sambutan menggalakkan itu berjaya dibuktikan melalui produk di bawah label Ziki’s Burger yang dimiliki sepenuhnya syarikat tempatan, Deminziki Co. Ltd. (Deminziki).

Malah, inisiatif Deminziki itu kini berjaya membawa konsep dan cita rasa burger jalanan yang mewarnai kehidupan rakyat di negara ini menjalar ke bandar raya Phonm Penh, Kemboja.

Berorientasi cita rasa Malaysia sepenuhnya, kombinasi daging burger tempatan buatan Ramly menjadi sandaran utama Ziki's Burger dalam menawan hati penduduk Phonm Penh. Pengarah Eksekutif Deminziki, Md. Arfizal Md. Ariffin berkata, idea memperkenalkan konsep burger jalanan ke negara itu dibuat atas dua sebab.

Sebab pertama, menurutnya peluang terbuka seiring dengan kepesatan ekonomi Kemboja yang kini sedang pesat membangun dan mempunyai potensi pasaran yang luas kepada pelabur luar selepas era zaman pemerintahan zalim tentera Pol Pot.

“Lagi pun, kini ledakan industri makanan segera berlaku di Kemboja dan ia tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Kita boleh lihat kemunculan banyak restoran makanan segera seperti piza, pasta, burger dan ayam goreng.

“Jadi kami mencuba nasib memperkenalkan Ziki’s Burger sejak beberapa tahun dahulu dan ternyata ia menerima sambutan yang baik. Sehingga kini kami sudah mempunyai 40 gerai burger di seluruh pelosok Pnom Penh dan ia dijangka bertambah dalam masa terdekat,” ujarnya.

Perkara kedua, menurut Md. Arfizal, kolaborasi syarikat usahasama Malaysia dan Kemboja telah melancarkan rangkaian kios burger halal pertama seumpamanya pada 11 Mei lalu sebagai pilihan makanan halal kepada masyarakat Islam Kemboja dan pelancong luar.

Bermula dengan pemilihan lokasi strategik di sekitar Phnom Penh sebelum menempatkan kios kini di kawasan tumpuan ramai.

Bagi memastikan produk tersebut dikenali, pelbagai promosi dijalankan sebagai usaha menarik minat penduduk Kemboja bagi merasai keenakan burger jalanan yang begitu asing pada mereka, katanya.

“Setiap hari pasti akan ada kios-kios terpilih sekitar bandar menjalankan promosi istimewa termasuk pengedaran risalah tentang jenama Ziki’s Burger,” katanya.

Kini selepas dua bulan memulakan operasi, Ziki’s Burger berjaya menggandakan jumlah kiosnya menjadi 40 buah sejajar dengan sasaran menjadikan 100 buah kios menjelang hujung tahun ini.

Keenakan burger Malaysia
Sama seperti burger di negara ini, kualiti, rasa dan bentuknya tetap dikekalkan sebagai penanda aras.

Ciri-ciri keunikan burger jalanan, burger untuk semua lapisan masyarakat ditonjolkan supaya penduduk tidak rasa janggal dan hairan ia lebih murah berbanding harga ditawarkan di restoran.

Ban lembut, mayonis, salad, bawang menjadi pelengkap kepada daging burger keluaran Ramly yang diimport ke Phonm Penh.


BEBERAPA kakitangan Ziki's Burger melakukan promosi di jalan Phonm Penh termasuk menggunakan maskot berbentuk burger.


Rata-rata pelanggan yang merasai burger keluaran Ziki’s berpuas hati dengan rasa asli daging yang digunakan berbanding burger tempatan yang dijual di restoran.

Menurut Md. Arfizal, hasil maklum balas para pelanggan, kualiti daging yang enak menjadi pilihan kenapa mereka kembali memilih burger keluaran Ziki’s.

Faktor harga yang lebih murah berbanding burger yang dijual di restoran turut menyebabkan ia menjadi tarikan utama bagi warga Phonm Penh untuk tidak lokek mengeluarkan wang saku.

Pada harga semurah RM3.30, Ziki’s Burger mampu terjual kira-kira 500 biji sehari.

“Pelanggan kita berusia 40 tahun ke bawah dan kebanyakan yang menggemari produk kita merupakan remaja,” katanya.

Katanya, biarpun jenama Ziki’s Burger masih baru namun, dengan sambutan yang diberikan sejak ia diperkenalkan, beliau yakin burger keluarannya mampu bersaing dan berkembang menjadi jenama digemari.

“Kita tahu bukan mudah untuk kita ubah cara pemakanan sesuatu masyarakat, namun dengan perkembangan cara hidup masa kini yang lebih mendesak burger bakal menjadi pilihan masyarakat Kemboja,” katanya.

Salah seorang pelanggan, Chin Phearum, 23, berkata, kali pertama menikmati keenakan Ziki’s Burger membuatkan beliau tertarik dengan rasa daging sebenar yang berlainan dengan burger keluaran tempatan.

Katanya, rasa yang enak membuatkan beliau teruja untuk membeli kali kedua burger tersebut.

“Kami di sini jarang boleh menikmati burger kerana ia agak mahal jika hendak dibeli di restoran. Ada juga gerai yang menjual burger tetapi, mereka mengeluarkan daging yang dihasilkan sendiri. Rasanya kurang enak berbanding burger biasa,” katanya.

Sementara itu, mengenai cara memasak pula, Md. Arfizal berkata, ia dipantau mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pengeluar daging burger Ramly bagi menjamin keenakan daging tersebut tidak terjejas apabila dimasak.

Antara pilihan menu yang terdapat di kedai Ziki's Burger ketika ini ialah, burger ayam, daging, ayam dan daging istimewa.

Bagi menjaga aspek kualiti makanan, kios Ziki’s Burger diubah suai mengikut keperluan penduduk di sana.

“Kios-kios yang ditempah khas pada asasnya sama seperti kios-kios burger yang terdapat di Malaysia, cuma apa yang membezakan ialah ia lebih bersih dan dilengkapi sistem penyerap minyak dan asap,” kata Arfizal.

Menurutnya, para pekerja pula diwajibkan memakai uniform lengkap berserta dengan apron sebagai penampilan diri kemas dan bersih.

ZIKI'S menawarkan empat jenis burger di gerainya di Phonm Penh.


Ketika penyediaan makanan para pekerja diwajibkan menggunakan sarung tangan plastik bagi menjaga kualiti dan kebersihan burger yang hendak dibungkus sebelum diserahkan kepada pelanggan

Program untuk belia Islam

Program Pembangunan dan Pencapaian Usahawan Kecil (SEDAP) merupakan platform utama membantu belia-belia Islam Kemboja keluar daripada belenggu masalah kemiskinan.

Dengan menerapkan pembangunan kapasiti, belia-belia Islam Kemboja diberikan latihan menjadi usahawan kecil untuk berdikari.

Salah seorang pekerja Ziki’s Burger, Reh Vanny, 20, peluang yang diberikan amat bermakna buat dirinya.

Katanya, apa yang ditawarkan oleh majikannya itu jauh lebih baik dan mampu membuatkan beliau mula berjinak-jinak dengan bidang perniagaan.

“Sebagai kaum minoriti di sini tidak banyak yang boleh dilakukan terutama dalam bidang perniagaan. Apa yang ditawarkan oleh Ziki’s Burger terlalu istimewa untuk ditolak,” katanya.

Bagi Pengurus Besar Deminziki Kemboja, Fauzy Ahmad, menerusi SEDAP, belia-belia Islam Kemboja bakal dilatih membina kemampuan, ketahanan dan kemahiran perniagaan.

Buat permulaan 40 orang belia kini sedang dilatih menjadi usahawan kecil sehingga mereka betul-betul mahir dan kemudian bakal ditawarkan peluang membuka kios burger sendiri.

“Dengan membuka kios sendiri keuntungan jualan bakal dimiliki melalui penjualan burger,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan Ziki's Burger boleh diikuti melalui laman web www.zikiburger.blogspot.com atau di laman sosial facebook.

No comments:

Post a Comment