Monday 19 September 2011

Diskaun feri RM3 dibatal di Langkawi

SEBAHAGIAN ahli Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Langkawi berhimpun secara aman di pekarangan Jetty Point, Langkawi bagi menggesa pengusaha feri meneruskan pelaksanaan tambang diskaun  RM3 kepada penduduk Langkawi.

(Gambar) SEBAHAGIAN ahli Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Langkawi berhimpun secara aman di pekarangan Jetty Point, Langkawi bagi menggesa pengusaha feri meneruskan pelaksanaan tambang diskaun RM3 kepada penduduk Langkawi.

Penduduk Langkawi tidak puas hati pengusaha batal potongan tambang

LANGKAWI: Kira-kira 100 ahli Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Langkawi berhimpun secara aman di pekarangan Jetty Point di sini, kelmarin bagi menggesa pengusaha feri meneruskan pelaksanaan diskaun tambang sebanyak RM3 kepada penduduk membabitkan laluan Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke pulau ini.
Mereka mendakwa langkah pengusaha feri membatalkan tambang diskaun mulai Jumaat lalu, membabitkan perjalanan pada cuti hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum itu dilakukan secara tidak sah kerana Kementerian Pengangkutan masih belum mengeluarkan surat rasmi mengenainya.
Tindakan terbaru syarikat feri itu menyebabkan penduduk Langkawi turut dikenakan kadar tambang sama dengan pelancong iaitu RM23 untuk dewasa dan kanak-kanak RM17 bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah berbanding RM20 dan RM14 sebelum ini.

Bagi perjalanan Langkawi-Kuala Perlis pula penumpang dewasa dari Langkawi turut dikenakan RM18 dan kanak-kanak RM13, berbanding RM15 dan RM10 iaitu kadar tambang lama.

Difahamkan, penduduk Langkawi boleh menikmati kadar tambang diskaun sebanyak RM3 itu dengan hanya mengemukakan kad pengenalan beralamat di Langkawi ketika membeli tiket di kaunter tiket di jeti Kuah.

Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Nor Saidi Nanyan, berkata mereka mempunyai pendirian bersatu untuk mendesak pengusaha feri mengenai isu itu dan akan membuat beberapa tindakan susulan termasuk menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kami mahukan mereka (pengusaha feri) meneruskan pemberian tambang diskaun sebanyak RM3 kepada penduduk Langkawi seperti sebelum ini membabitkan laluan Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke pulau ini.

“Pertimbangan semula perlu dibuat oleh pengusaha feri, pada masa sama mereka perlu mengembalikan hak kepada penduduk tempatan, sekali gus mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung mereka,” katanya.

Tinjauan di Jeti Kuah, di sini, mendapati peserta perhimpunan aman itu turut membawa beberapa sepanduk yang tertulis ‘Kembalikan Hak Kami’, ‘Penduduk Langkawi Bukan Bodoh’, ‘Syarikat Feri Penipu’ dan ‘Kami Bantah Pembatalan Diskaun’.-Berita Harian

No comments:

Post a Comment