Sunday 11 September 2011

Kemasukan buruh asing ditangguh

PUTRAJAYA: Proses membawa masuk pekerja asing baru bagi semua sektor kecuali pembantu rumah akan ditangguhkan sepanjang tempoh pelaksanaan peringkat kedua Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/PATI (Program 6P) yang akan bermula tidak lama lagi.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam, berkata ia membolehkan kerajaan menguruskan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sudah berdaftar dengan menempatkan atau mengekalkan mereka dalam sektor tertentu yang memerlukan khidmat pekerja berkenaan.
Kita benarkan majikan hantar permohonan mendapatkan pekerja asing baru tetapi proses kemasukan mereka ditangguh sementara sepanjang proses pemutihan bagi membolehkan kita melihat keperluan sektor tertentu dan mengisinya dengan PATI berdaftar.
Menerusi proses pemutihan, jika PATI terbabit didapati sesuai mengisi kekosongan dalam sektor yang dikenal pasti, mereka akan diputihkan dan seterusnya dijadikan pekerja sah dengan senarai majikan berdaftar, katanya selepas menghadiri Seminar Syarikat Pengurus Bagi Peringkat Pemutihan Dalam Program 6P, di sini semalam.

Peringkat pertama Program 6P yang berakhir 31 Ogos lalu, mendaftarkan 2,320,034 pekerja asing termasuk 1,303,126 PATI.

Mahmood berkata, tarikh pelaksanaan peringkat pemutihan hanya akan diketahui selepas diputuskan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 3 Oktober depan.

Bermula 15 September ini, beberapa perkara disemak dan diproses sebagai persediaan pelaksanaan proses pemutihan seperti permohonan pengambilan pekerja asing, sijil pendaftaran syarikat perniagaan dan slip pendaftaran PATI.

Keutamaan diberi kepada mereka yang sudah ada majikan, manakala 50,000 PATI yang belum ada majikan kita carikan majikan berdasarkan keperluan sektor, katanya.-Bharian

No comments:

Post a Comment