Friday 16 September 2011

KONSORTIUM Logistik Bhd (KLB) maju hab halal di Thailand

Depoh kontena seluas 8 hektar dibangun semula dengan kerjasama MITI

KONSORTIUM Logistik Bhd (KLB), penyedia perkhidmatan logistik bersepadu, akan memajukan semula depoh kontenanya di Sadao, Selatan Thailand kepada hab bagi pemprosesan produk halal.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Che Azizuddin Che Ismail, berkata inisiatif yang akan dilaksanakan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berpotensi besar mengembangkan lagi skop perniagaan syarikat itu di luar negara.
“Hab halal yang akan direalisasikan pembangunannya tahun depan itu akan menjadi pusat bagi pemprosesan produk halal dari Thailand untuk di pasarkan ke negara itu, Malaysia dan Indonesia.

“Bagaimanapun sama ada produk halal yang bakal dikeluarkan di hab itu akan dilabelkan produk keluaran Malaysia atau Thailand akan ditentukan kelak,” katanya dalam temu bual bersama Berita Harian, di Shah Alam baru-baru ini.

KLB memiliki sebidang tanah seluas 24 hektar di Sadao iaitu kira-kira 7.5 kilometer daripada Bukit Kayu Hitam, Perlis.

Seluas lapan hektar daripada tanah itu telah dibangunkan sebagai depoh kontena tetapi operasinya telah dihentikan pada 2005.
Che Azizuddin berkata, KLB turut bercadang membangunkan lebihan tanah seluas 16 hektar lagi dengan pelbagai cabang perniagaan lain, termasuk membabitkan perkhidmatan logistik apabila hab halal berkenaan beroperasi kelak.

“Setakat ini kami masih dalam proses memuktamadkan persetujuan bersama MITI. Selepas hab halal itu beroperasi nanti ia akan menjadi perniagaan berpotensi untuk KLB,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KLB menjangka memuktamadkan pelupusan gudang lamanya di Puchong, Selangor bernilai RM41 juta bulan depan.

Hasil penjualan itu, katanya akan diguna untuk mengembangkan lagi perniagaan logistik syarikat itu.

Beliau menjelaskan, syarikat itu kini beroperasi di gudang barunya di Bukit Kemuning, Shah Alam dan Rawang, dengan masing-masing berkeluasan 200,000 kaki persegi dan 350,000 kaki persegi.

Gudang baru itu berhampiran dengan pelanggan utama syarikat itu, iaitu PROTON Holdings Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA).

Che Azizuddin berkata, pemindahan ke gudang baru itu mendapat reaksi positif PROTON dan PERODUA kerana KLB dapat memberi perkhidmatan lebih baik dan pantas kepada kedua-dua pelanggan utamanya itu.

“Gudang utama di Bukit Kemuning dan Rawang adalah kemudahan terbesar dan terbaik dan ia berhampiran dengan pusat pengeluaran utama pelanggan KLB,” katanya.

Selain memberikan perkhidmatan logistik kepada PROTON dan PERODUA, KLB turut menyediakan perkhidmatan kepada operasi pengeluaran kereta Kumpulan NAZA di Gurun, Kedah.

No comments:

Post a Comment