Monday 19 September 2011

Sedia hotel bajet dekat Baitullah | (Ashraf Muslim)

Kebajikan, kemudahan golongan sederhana juga perlu dijaga

PROJEK pembesaran Masjidil Haram yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi membuktikan keprihatinan pihak berkuasa negara itu memastikan jemaah yang tidak pernah lekang menziarahi Tanah Suci itu mendapat keselesaan diharapkan untuk melakukan ibadat.
Malah, pembangunan pesat dijalankan membangkitkan rasa bangga kerana pentadbiran negara Islam berupaya menjadikan negara hutan batu serta padang pasir itu berdiri gah seperti ibu kota negara maju yang lain.
Lebih menggembirakan, rakyat Malaysia turut menyumbangkan kepakaran untuk pembesaran serta pembangunan yang direncanakan sejak 2008 bertujuan menyediakan perkhidmatan terbaik dengan mengutamakan kemudahan umat Islam seluruh dunia melakukan ibadat haji lebih berkesan.

Sejak pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim bersama anakanda Baginda, Nabi Ismail, yang menjadi tempat berhimpun berjuta umat Islam menyahut seruan Ilahi setiap kali musim haji, kawasan sekitarnya melalui banyak fasa pembesaran.

Imam Abul Hassan Mawardi meriwayatkan, pada zaman Rasulullah SAW hingga ketika Saidina Abu Bakar diangkat menjadi Khalifah, Masjidil Haram tidak mempunyai dinding. Perluasan Masjidil-Haram bermula pada 638 Masihi oleh Saidina Umar ibn Khattab.

Beliau membeli rumah di sekeliling Kaabah dan diruntuhkan semua bagi tujuan perluasan dan usaha itu diteruskan Saidina Usman ibn Affan pada 647 Masihi. Pada 696 Masihi, cucu Saidina Abu Bakar bernama Abdullah ibn Zubair memperluaskan kawasan masjid dengan membeli gedung di sebelah timur dan selatan masjid.
Sementara di bahagian utara dan barat diperluaskan oleh Zaid bin Abdullah al-Harisi di bawah perintah Khalifah Bani Abbas, Abu Ja’afar al-Mansur. Pada 986 Masihi, Harun Ar-Rashid memasukkan gedung Dar An-Nadwah ke dalam masjid dan membina pintu Bab Ibrahim di sebelah barat.

Dari semasa ke semasa, pelbagai usaha dilakukan untuk mengindah serta memperbaiki keadaan di Masjidil Haram sebagai kemudahan kepada jemaah yang datang untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Fasa pertama pembesaran Masjidil Haram pada era moden bermula pada 1955 atas arahan pengasas Arab Saudi, Raja Abdul Aziz. Pada 1988, Raja Fahd Abdulaziz Al-Saud mengarahkan pembesaran kawasan solat dari 152,000 kepada 356,000 meter persegi.

Projek pembesaran kali ini dilakukan di bawah kepemimpinan Raja Abdullah Abdul Aziz di bawah tanggungan penuh Kerajaan Arab Saudi.

Namun, di sebalik kesungguhan menyediakan pelbagai kemudahan untuk melancarkan lagi perjalanan ibadat jemaah khususnya apabila tiba musim haji nanti, rasanya ada perkara terlepas daripada pandangan pihak berkenaan.

Walaupun hati kagum melihat bangunan tinggi dan hebat mengelilingi Masjidil Haram, pasti ada yang berpandangan kemajuan dicapai Makkah hanya memberi kelebihan kepada golongan tertentu khususnya mereka yang berkemampuan.

Pembesaran kawasan Masjidil Haram bagi memuatkan lebih ramai jemaah berikutan jumlah umat Islam yang datang menunaikan haji serta umrah meningkat setiap tahun menyebabkan banyak bangunan serta kawasan penempatan berhampiran dirobohkan.

Sebagai ganti, dibina hotel serta pusat beli-belah bertaraf tinggi menyebabkan hotel bertaraf sederhana serta mampu duduk untuk golongan kurang berkemampuan kian jauh daripada kawasan masjid.

Difahamkan, pakej haji bagi yang ingin menginap di hotel paling hampir dengan kawasan masjid boleh mencecah puluhan ribu malah ada yang hingga ratusan ribu. Bertuahlah bagi mereka yang mampu menyediakan kos sebanyak itu.

Bagaimana dengan yang kurang mampu? Ini yang bermain di fikiran kerana kebanyakan hotel serta rumah sewa murah terletak agak jauh daripada kawasan Masjidil Haram. Oleh itu, bagi yang tinggal agak jauh, mereka perlu berjalan ke masjid.

Apabila berada di masjid, mereka perlu bijak merancang kerana untuk berulang balik ke bilik penginapan akan memakan masa serta tenaga sedangkan fokus utama adalah untuk memperbanyakkan ibadat mendekatkan diri kepada Allah.

Mungkin inilah ujian untuk mereka yang nekad berkelana ke Makkah bagi menunaikan Rukun Islam kelima dan keredaan hati menempuh cabaran adalah hikmah terbesar yang akan mendekatkan lagi manusia dengan Penciptanya. Syaratnya, semua itu dilalui dengan hati yang ikhlas, redha serta tabah.

Sekadar cadangan, mungkin pihak berkuasa boleh membangunkan kawasan yang hampir dengan Masjidil Haram untuk menempatkan hotel bertaraf sederhana serta mampu duduk khusus untuk warga emas serta golongan kurang upaya.

Kemudahan itu sebagai memenuhi keperluan mereka yang berdepan masalah kesihatan, faktor umur dan kurang upaya yang ingin menunaikan haji serta umrah dengan selesa dengan kos tidak membebankan.

Pastinya usaha itu disambut baik jemaah haji yang menanam cita-cita menjejakkan kaki di Baitullah tanpa perlu risau memikirkan perkara membabitkan penempatan, aspek perjalanan atau tahap keselesaan apabila berada di sana nanti.

Sekadar berkongsi rasa serta pandangan kerana bagi golongan muda, berjalan jauh untuk ke masjid tidak ada masalah namun bagi yang berusia, alangkah baiknya dapat menyimpan tenaga berbaki untuk melaksanakan ibadat dengan tenang dan khusyuk. Wallahualam.

Oleh Ashraf Muslim

No comments:

Post a Comment