Thursday 15 September 2011

Tak sempat bayar hutang kepada bapa

Soalan
BAPA saya sudah meninggal dunia sebelum sempat saya melangsaikan hutang kepadanya. Bolehkah saya menggunakan harta pusaka arwah yang berhak saya dapat untuk diberikan kepada ahli keluarga lain yang berhak?

Selepas melalui proses surat menyurat, pentadbir harta di mahkamah dan urusan di Amanah Raya, saya dan adik lelaki mendapat 2/8 bahagian setiap seorang (2/8 + 2/8) manakala tiga saudara perempuan dan ibu kami mendapat 1/8 bahagian setiap seorang.

Persoalan saya, bagaimana hendak membahagikan hutang saya berjumlah RM1,000 kepada adik-beradik saya dan juga ibu kami? Adakah saya perlu mengikut nisbah pembahagian yang ditetapkan iaitu saya mempunyai hak 2/8 daripada RM1,000 itu atau ada cara lain untuk pembahagian itu?

Hati saya tidak tenang selagi urusan ini tidak dapat diselesaikan.

ZUL, Melaka

Jawapan
WANG sebanyak RM1,000 itu perlu dibahagi mengikut sistem faraid iaitu kadar 1/8 bagi ibu apabila si mati ada anak, 3/8 bagi tiga adik-beradik perempuan dan 4/8 bagi anda dan adik lelaki.

Dengan itu, ibu anda dan tiga adik-beradik perempuan mendapat RM125 setiap seorang iaitu kadar 1/8 setiap seorang manakala anda dan adik lelaki mendapat RM250 setiap seorang iaitu kadar 2/8 setiap seorang.

Untuk kiraan mudah, sila lihat Laman Web USM-Faraid http://maths.usm.my/faraid/msl/default.html)

sumber metro

No comments:

Post a Comment