Sunday 11 September 2011

Telco kaji semula caj 6 peratus

KUALA LUMPUR: Semua syarikat telekomunikasi (telco) dijangka mengadakan perbincangan lanjut sama ada mahu menyerapkan cukai perkhidmatan enam peratus atau mengekalkannya untuk ditanggung oleh pengguna perkhidmatan prabayar.

Sumber berkata, perbincangan itu perlu berikutan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin yang mahukan syarikat telekomunikasi mengkaji semula langkah mengenakan cukai perkhidmatan itu.
Beliau berkata pihaknya memandang serius saranan Perdana Menteri dan satu siri perbincangan akan dilakukan bagi mendapatkan keputusan terbaik dalam menyelesaikan isu ini.
Setakat ini, kita tidak boleh memberikan sebarang komen kerana belum buat keputusan berhubung perkara ini, tetapi satu siri perbincangan akan diadakan dalam tempoh terdekat, kemungkinan minggu depan.

Apabila keputusan dipersetujui kelak, syarikat telekomunikasi akan mengeluarkan kenyataan baru, tetapi kita juga tidak pasti sama ada kenyataan itu dibuat secara bersama atau mengikut syarikat masing-masing, katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meminta syarikat telekomunikasi mempertimbangkan semula cukai enam peratus terhadap pengguna talian prabayar sebelum isu itu dibawa ke Kabinet.

Saya sudah janji bawa perkara ini ke Kabinet tetapi berharap syarikat telekomunikasi mempertimbangkan dulu sebelum perkara ini dibangkitkan (dalam mesyuarat Kabinet), katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bank Rakyat di sini, semalam.
Di BACHOK, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata cadangan syarikat telekomunikasi untuk mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus amat tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Katanya, kerajaan berusaha membendung inflasi supaya tidak membebankan rakyat, namun jika ia berlaku sebaliknya, itu menunjukkan syarikat telekomunikasi seolah-olah membelakangi kerajaan.

Syarikat telekomunikasi di negara ini masih berupaya meraih keuntungan besar seperti sekarang, walaupun mereka tidak menaikkan cukai berkenaan terhadap pengguna, katanya selepas majlis sambutan Aidilfitri di Pejabat Pelajaran Daerah, Tangok, semalam.-bharian

No comments:

Post a Comment