Sunday 11 September 2011

Terengganu siap sedia hadapi musim tengkujuh

KUALA TERENGGANU: Terengganu menyediakan 112 pusat pengkalan dengan 347 pusat pemindahan yang boleh menampung sejumlah 51,745 mangsa pada satu-satu masa sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir menjelang ketibaan musim tengkujuh November ini.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri, Mohd Tarmizi Dan, berkata selain itu, semua jentera yang berkaitan dengan bencana alam itu diarahkan meningkatkan lagi peranan dan fungsi di peringkat akar umbi.

"Jawatankuasa pengurusan dan bantuan bencana negeri Terengganu sudah mengadakan mesyuarat bulan lalu bagi membincangkan langkah-langkah dan juga persediaan untuk menghadapi bencana alam itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Majlis Keselamatan Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata, daerah Hulu Terengganu menyediakan paling banyak pengkalan iaitu 32, diikuti daerah Besut (26), Kemaman dan Setiu masing-masing (15), Marang (13), Dungun (9) dan Kuala Terengganu (2).

Mohd Tarmizi berkata, sebuah depo simpanan keperluan juga ditempatkan di Pulau Kerengga, Marang bagi memastikan kelancaran pengagihan bantuan pada musim tengkujuh.

Beliau berkata, kerajaan negeri mewujudkan laman web bagi memudahkan orang ramai mengetahui keadaan banjir iaitu www.etindakan.terengganu.gov.my. - BERNAMA

kredit BHarian

No comments:

Post a Comment