PUTRAJAYA: Isu pembekuan dalam penghantaran pembantu rumah ke Malaysia akan terus buntu sehinggalah kerajaan Indonesia menarik balik larangan itu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri pelantikan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (2011-2013) di sini hari ini, beliau berkata, kementeriannya tidak mengetahui sebab di sebalik kelewatan menarik balik pembekuan itu oleh kerajaan Indonesia sungguhpun Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani oleh kedua-dua negara pada penghujung Mei tahun ini.
Antara syarat yang dipersetujui dalam MoU itu adalah majikan Malaysia dijanjikan pembantu rumah gantian atau ganti rugi deposit daripada agensi pekerjaan yang terbabit sekiranya pembantu rumah itu melarikan diri, tidak efisien atau gagal ujian perubatan dalam tempoh enam bulan.
Persetujuan turut dicapai berhubung gaji pembantu rumah yang perlu ditentukan berdasarkan kedudukan pasaran semasa, namun kerajaan Indonesia akan memastikan bahawa gaji yang ditawarkan oleh majikan Malaysia tidak kurang daripada gaji minimum di Indonesia.
Subramaniam berkata, kerajaan Malaysia akan akur kepada segala perkara yang terkandung dalam MoU berkenaan dan kini terpulang kepada Indonesia untuk melaksanakan peranannya pula.
Ditanya sama ada beliau bersedia menemui kerajaan Indonesia untuk menyelesaikan isu itu, Subramaniam berkata: "Saya tidak mempunyai agenda yang segera. Tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, lazimnya mengadakan dialog tahunan bersama Indonesia."
Dalam perkembangan berasingan, Subramaniam berkata, Akta Gaji Minimum telah pun dikuatkuasakan sejak 15 September selepas diluluskan Parlimen.
"Kami akan melantik ahli Majlis Perundingan Gaji Minimum Kebangsaan. Selepas kami membuat pelantikan itu, majlis ini akan bersidang dan berbincang serta mengemukakan syor berhubung gaji minimum di negara ini," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment