Thursday 15 September 2011

Aurat kaki Wanita, Perempuan

Soalan
ADAKAH seorang wanita wajib memakai sarung kaki? Bolehkah bertaklik kepada mahzab lain berkenaan aurat kaki wanita memandangkan kebanyakan wanita bertudung tapi masih tidak memakai sarung kaki?

EYMA.Bentong, Pahang

Jawapan
Perbahasan mengenai kaki wanita sama ada ia menjadi sebahagian aurat atau tidak adalah perkara khilaf antara ulama. Maksudnya ulama mempunyai pandangan berbeza serta tafsiran yang tidak sama, namun semua mereka adalah mujtahid yang datang dengan dalil sah dalam hal ini.

Apabila ulama tiada konsensus, bererti perkara ini bukan masalah asas, sebaliknya ia masalah cabang (furu-iyah) atau perbahasan kecil yang tidak harus dibesarkan hingga menjadi pertikaian.

Berikut saya lampirkan pandangan ulama yang berbeza dalam hal ini.

1. Mazhab Hanafi mengatakan kaki wanita tidak termasuk dalam lingkungan aurat.

2. Mazhab Maliki dalam pendapat yang muktamad mengatakan kaki bukan aurat.

3. Mazhab Syafi’e pula mengatakan ia sebagai aurat.

4. Mazhab Hambali pula mengatakan kaki wanita sebagai aurat.

Semua pendapat adalah benar dan kita harus memilih mana-mana pendapat. Dengan ini umat Islam lebih dinamis dan berwawasan untuk menambah ilmu. Mereka juga mempunyai pilihan lebih luas dan banyak.

Ini dikatakan hadis bahawa perbezaan umat membawa rahmat. Mengapa kita hanya menumpukan satu tempat untuk mencari kebenaran, sedangkan Rasulullah tidak pernah menyatakan salah jika ada dua pendapat yang berkembang.

Tidak perlu menyatakan mana satu pandangan lebih muktamad, benar atau lebih baik atau lebih tepat daripada yang lain. Ini kerana sebenarnya sikap merasakan pendapat sendiri benar adalah bukan ciri para ulama.

Seorang yang banyak ilmunya memiliki banyak wawasan dan mudah menerima perbezaan pendapat daripada orang lain. Sebaliknya, seorang yang kerdil ilmu sering dengan mudah merasakan hanya dirinya benar dan pandangan orang lain yang berbeza daripadanya salah.

Janganlah wanita yang memakai sarung kaki melihat wanita yang tidak memakainya dengan pandangan seolah-olah dia berdosa besar kerana perkara ini adalah perkara khilaf yang harus diambil dari mana-mana pandangan.

Apalagi sesama ulama sendiri menghormati pandangan lain dan tidak pernah merasakan dia lebih benar dan tepat daripada yang lain.sumber metro

No comments:

Post a Comment