Sunday 11 September 2011

Niat puasa qada Ramadan perlu didahulukan kerana wajib

Soalan
ASSALAMUALAIKUM. Saya ingin bertanya mengenai puasa enam Syawal. Saya masih mempunyai puasa yang kena qada, tetapi bolehkah saya mengerjakan puasa enam terlebih dulu? Dan manakah yang lebih baik, puasa enam berturut-turut atau sebaliknya?

RAHIMAH,
Kuala Lumpur.

Jawapan

Bersama Ustaz Zahazan

AL-HAMDULILLAH wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Imam an-Nawawi RHM meletakkan satu bab dalam kitab Riadis Sholihin, iaitu bab mengenai sunat puasa enam hari pada Syawal. Hadis yang terkandung dalam bab ini yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Ayyub RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan kemudian diikutinya dengan puasa enam hari pada Syawal, maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun.
Begitulah tawaran besar yang diberikan kepada orang beriman bagi mereka yang melaksanakan puasa enam hari dalam bulan Syawal. Ini bererti bagi mereka yang tidak membuatnya, maka ia tidak akan memperoleh kelebihan itu.

Sekiranya seseorang itu belum menyelesaikan qada puasa Ramadan yang ditinggalkannya, lalu dia berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal, maka perkara itu harus dilakukan cuma tidak mengikut susunan. Kerana sepatutnya ia hendaklah menyelesaikan dulu qada puasa Ramadan, barulah diikuti dengan puasa sunat enam hari Syawal.

Ada juga ulama berpandangan sekiranya ia menyatukan niat puasa wajib dan puasa sunat seperti puasa qada Ramadan dan puasa enam Syawal, maka ia akan beroleh kedua-duanya. Sekiranya ia meniatkan satu daripada dua, maka ia akan memperoleh ganjaran puasa yang ia niatkan dan gugurlah ganjaran puasa yang satu lagi. Perkara itu dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam fatwanya, dalam kitab al-Fatwa al-Kubra.

Walaupun ada pandangan yang mengatakan bahawa afdalnya dikerjakan puasa enam itu hendaklah berturut-turut selepas Aidilfitri seperti ungkapan dalam hadis kemudian dia susulinya, namun ganjaran puasa enam ini tetap diperoleh sekalipun dia tidak mengerjakannya secara berturut-turut selepas hari raya.
Imam an-Nawawi menyebut dalam Syarah Sahih Muslim, iaitu yang lebih utama dilaksanakan puasa enam itu berturut-turut selepas hari raya.

Sekiranya dilewatkan sehingga akhir Syawal, maka ia tetap mendapat ganjaran itu. Syeikh Atiyyah Saqr, iaitu bekas Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar apabila ditanya persoalan itu menjawab bahawa sudah cukup bagi orang yang melakukan puasa ganti (qada) dan puasa enam dengan berniat puasa qada pada Syawal.

Ia akan diberi dua ganjaran sekiranya dia bertujuan demikian dengan syarat dia hendaklah mendahulukan niat puasa qada terlebih dulu. Puasa qada adalah wajib manakala puasa enam adalah sunat. Demikianlah, wallahualam.- kredit Bharian

No comments:

Post a Comment