Thursday 22 September 2011

Juruenjin Feri Tiger Line ( Anuwat Boota ) diselamatkan Pasukan Gerakan Marin

LANGKAWI: “Saya seperti mati hidup semula. Jika tidak dijumpai anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM), pasti saya tidak bernyawa lagi,” kata Anuwat Boota, 20, juruenjin feri penumpang Tiger Line yang nyaris maut selepas terjatuh ke dalam laut berhampiran Pulau Rebak Besar, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.10 petang itu, Anuwat yang menaiki feri bersama enam kru lain dan sembilan penumpang pelancong asing dalam perjalanan dari Koh Lipe, Thailand ke Telaga Habour Park di Pantai Kok.


Namun, pemuda berasal dari Satun, Thailand itu bernasib baik apabila dia diselamatkan anggota PGM yang kebetulan meronda di kawasan itu selepas terapung selama hampir setengah jam.

Menceritakan detik cemas itu, Anuwat berkata, sebelum kejadian dia berjalan di tepi dinding feri itu sebelum tiba-tiba tergelincir dan terjatuh ke dalam laut. “Arus laut pula agak deras menyebabkan saya ditinggalkan oleh feri berkenaan. Semua kru dan penumpang memang tidak sedar saya terjatuh ke dalam laut.


“Dalam keadaan tenaga yang semakin berkurangan akibat letih berenang, saya menguatkan semangat melambai tangan kepada bot berkenaan dan apabila dekat baru saya tahu mereka adalah pasukan PGM. Jika mereka (PGM) tidak menemui saya, mungkin saya akan mati lemas kerana saya tidak mampu untuk bertahan lebih lama lagi,” katanya ketika ditemui sejurus diselamatkan tiga anggota PGM Langkawi diketuai Sarjan Mejar Shamsudin Arshad.


Anuwat berkata, dia juga bernasib baik kerana tergelincir dan jatuh di sisi kanan feri yang sedang bergerak.

Menurutnya, jika terjatuh di belakang feri yang ada kipas berpusing laju pasti risikonya lebih besar.


Anuwat yang juga anak bongsu dari lima beradik berkata, kejadian terjatuh ke laut itu adalah yang pertama dialaminya selepas bekerja dengan syarikat feri penumpang ulang-alik dari Langkawi-Koh Lipe itu sejak empat tahun lalu.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pemerintah PGM Wilayah 1 Langkawi, Asisten Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata mangsa bernasib baik kerana ditemui tiga anggota PGM Langkawi yang sedang meronda di kawasan itu.


“Ketika kejadian, seramai enam anak kapal termasuk kaptennya, Samart Thongrak serta sembilan penumpang tidak menyedari mangsa terjatuh ke laut.


“Ketika ditarik naik ke bot ronda oleh anggota PGM, mangsa dalam keletihan, selain gagal bercakap dengan jelas,” katanya di pangkalan PGM di Bukit Malut, semalam.

~Metro

No comments:

Post a Comment