Monday 19 September 2011

Enam warga asing disyaki cuba rompak kapal ditahan

JOHOR BAHRU: Enam warga asing berumur antara 25 hingga 45 tahun ditahan ketika cuba merompak kapal dagang di kedudukan 2.4 batu nautika Barat Tanjung Piai Johor, awal pagi hari ini.
Mereka yang menaiki sebuah bot kayu berukuran lapan meter panjang dan menggunakan enjin sangkut Yamaha 40 kuasa kuda dikesan dalam keadaan mencurigakan, cuba merapati tiga buah kapal yang berlabuh di perairan tersebut. Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai bot mencurigakan itu ketika ia cuba merapati kapal MV Kandariah dan MV Al-Agaila pada 12.30 tengah malam.

"Bot peronda kita bergegas ke lokasi dan apabila sampai pada 12.40 pagi mendapati bot kayu itu cuba merapati sebuah lagi kapal iaitu MV Sky Jupiter, dipercayai untuk merompak," katanya.

Bercakap kepada pemberita di jeti Jabatan Laut, di sini, hari ini, beliau berkata, bot kayu itu terus meluncur laju melarikan diri apabila menyedari kehadiran bot peronda APMM.

Mereka berjaya ditahan selepas dikejar selama 10 minit dan dilepaskan tembakan amaran oleh peronda APMM.
Dalam siasatan awal, APMM mendapati kesemua suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan menemui pisau pemotong daging, tukul, kapak, spanar, pemutar skru, tali bersaiz satu inci dan buluh daripada mereka.

Zulkifli tidak menolak kemungkinan suspek turut menggunakan senjata api, namun mungkin dicampak ke dalam laut ketika mereka melarikan diri.

Modus operandi mereka ialah merapati dan menaiki kapal-kapal dagang yang berlabuh lalu merompak barangan kepunyaan anak-anak kapal.

Ini adalah kejayaan kedua APMM tahun ini menangkap perompak di perairan tersebut di mana tujuh perompak ditahan pada Mac lalu.

Zulkifli mengesahkan perairan Tanjung Piai dan Pengerang di Kota Tinggi itu adalah hotspot kejadian rompakan di laut. - BERNAMA sumberberitaharian

No comments:

Post a Comment