Thursday 15 September 2011

Kuala Lumpur FA bayar elaun pengadil

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak mempunyai masalah untuk akur dengan arahan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membayar elaun secara tunai kepada pengadil setiap kali menjadi tuan rumah perlawanan Piala Malaysia bermula musim ini.

Presidennya Datuk Astaman Abdul Aziz berkata bayaran secara tunai kepada pengadil telah dilakukan sejak perlawanan pertama membabitkan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah perlawanan Piala Malaysia pada 10 Sept lepas.

"Saya telah meluluskan cek pembayaran elaun kepada pengadil untuk perlawanan pada esok ini (17 Sept) yang mana Kuala Lumpur menjadi tuan rumah dalam perlawanan seterusnya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada perlawanan kumpulan D Piala Malaysia malam esok, skuad Ibu Kota akan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Pembandaran Selayang (MPS).


Sebelum ini, Mesyuarat Jawatankuasa Exco FAM yang bersidang pada awal bulan lepas meluluskan kadar bayaran baru membabitkan elaun makan, penginapan, perjalanan dan juga elaun pertandingan kepada pengadil yang terlibat dalam perlawanan Liga Malaysia.


FAM turut memberi arahan agar bayaran tersebut dijelaskan secara tunai oleh pasukan tuan rumah setiap kali selesai sahaja perlawanan.

Astaman yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengadilan FAM berharap pasukan lain yang menjadi tuan rumah setiap kali perlawanan turut mematuhi arahan daripada FAM tersebut bukan hanya untuk musim ini tetapi dilakukan secara berterusan.

Beliau berkata sehingga kini semua pasukan tuan rumah mematuhi arahan terbaru tersebut dan pihaknya tidak menerima sebarang aduan sehingga hari ini.

"Saya harap pasukan yang terlibat dalam Liga Malaysia dapat teruskan pembayaran elaun pengadil hingga ke perlawanan akhir," katanya. -BERNAMA

sumber Metro

No comments:

Post a Comment